Pentauliahan Kapal LMS Kedua, KD Sundang Disempurnakan Hari Ini

Oleh PEMBERITA BORNEOTODAY
KOTA KINABALU: Pentauliahan Littoral Mission Ship (LMS) SUNDANG iaitu Kapal LMS kedua bagi Tentera Laut Diraja Malaysia (TLD) selamat disempurnakan di Pangkalan TLDM Kota Kinabalu (PTKK), Sabah pagi tadi.

Upacara penuh istiadat itu disempurnakan oleh Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany dengan membacakan watikah pentauliahan dan memakaikan Insignia Pemerintahan kepada Komander Khairil Sarian TLDM, Pegawai Memerintah Kapal Diraja (KD) SUNDANG yang pertama.

Majlis turut dihadiri oleh Pengerusi Boustead Heavy Industry Corporation (BHIC), Laksamana Tan Sri Ramlan Mohamed Ali (Bersara).

KD SUNDANG telah mengharungi pelayaran sejauh 1,862 batu nautika bermula pada 17 Jan dan selamat tiba di PTKK pada 24 Jan lalu.

Sebagaimana LMS Pertama (KD KERIS), KD SUNDANG diletakkan di bawah pemerintahan Markas Pemerintahan Armada Timur yang berpangkalan di Kota Kinabalu.

Pembinaan KD SUNDANG dimulakan pada 23 Oktober 2018 di Wuchuan Shuangliu Manufacture Base, Wuhan.

Upacara pelancaran kapal telah disempurnakan oleh Puan Sri Rusnah A. Rahman isteri kepada Panglima Angkatan Tentera Malaysia ke-20 pada 12 Julai 2019.

Walaupun asalnya kapal ini dijadualkan siap pada April 2020, kerja pembinaannya telah tertangguh disebabkan oleh pandemik Covid-19.

Untuk rekod, kapal kelas LMS adalah satu daripada lima (5) kelas kapal di dalam Program Transformasi TLDM 15 kelima.

Kontrak perolehan empat buah LMS telah dimeterai pada 23 Mac 2017 di antara Kementerian Pertahanan Malaysia dengan Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNSSB) yang bekerjasama dengan China Shipbuilding & Offshore International Co Ltd (CSOC).

Projek ini adalah julung kalinya perolehan aset pertahanan kapital pertama daripada negara China. Kapal LMS ketiga dan keempat pula dijangka akan diterima pada bulan Oktober dan Disember tahun ini.