‘Pentas Drama Pupuk Kesedaran Bahaya Dadah’ – Frankie Poon

278
Frankie Poon

SANDAKAN: Bentuk kesedaran masyarakat mengenai bahaya penyalahgunaan dadah melalui konsep pementasan drama.

Itu cadangan disuarakan Menteri Belia dan Sukan Negeri Sabah, Datuk Poon Ming Fung @ Frankie sebagai pendekatan berkesan membentuk pengetahuan dan kesedaran mengenai bahaya dadah bermula dari peringkat bawah.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.46 Tanjong Papat berkata, langkah itu bagi mendorong peserta yang terdiri daripada pelajar sekolah melakukan pencarian dan penyelidikan berkaitan bahaya penyalahgunaan dadah, kesan pengambilannya dan peranan masyarakat dalam membendung penularan gejala negatif itu.

“Drama competition (pertandingan drama) bermula di antara (kumpulan) sekolah dan pemenangnya dipertandingkan di peringkat daerah.

“Program ini akan membentuk kesedaran di kalangan pelajar sekolah apabila mereka membuat carian maklumat mengenai kandungan drama yang hendak dipentaskan, penyelidikan mengenai bahaya salah guna dadah dan kesannya yang amat buruk.

“Memberi impak dalam diri, impak kepada keluarga, impak sebagai pelajar, impak di kalangan rakan dan impak masa depan,” katanya ketika ditemui di Pejabat Pusat Khidmat Masyarakat ADUN N.46 di sini, hari ini.

Frankie ditemui ketika Kunjungan Hormat Ketua Pegawai Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Daerah Sandakan, Aisyah Abdul Karim di pejabatnya.

Sementara itu, Aisyah berkata, beliau menyambut baik cadangan tersebut dan akan memastikan program itu dilaksanakan dalam tempoh terdekat.

Menurutnya, program itu sejajar dengan matlamat AADK melaksanakan pencegahan bermula di peringkat awal termasuk di sekolah.