Pentadbiran Gagal, Sekarang Musa Bising Soal KDNK

CHRISTOPHER MASUDAL

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Penasihat pelaburan membidas kenyataan Tan Sri Musa Aman yang menyatakan pertumbuhan ekonomi Sabah terbantut ketika pemerintahan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal.

Kenapa Musa harus mempersoal Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Sabah yang dikatakan jatuh pada 2019. Walhal, umum mengetahui kelembapan ekonomi berlaku di seluruh dunia susulan perang dagangan antara Amerika Syarikat dan China sejak 2018.

Penasihat Pelaburan, Christopher Masudal berkata, beliau tidak faham kenapa Musa kecoh tentang KDNK biarpun dia sendiri tahu keadaan ekonomi dunia.

“Musa menjadikan laporan diterbitkan Jabatan Statistik Malaysia sebagai rujukan untuk mengatakan KDNK Sabah menurun 0.5 peratus berbanding 1.5 peratus pada 2018.

“Saya ingin memaklumkan ekonomi global juga menunjukkan penurunan KDNK pada 2019 termasuk Amerika Syarikat yang menurun kepada 2.3 peratus berbanding 2.9 peratus (2018). Di China pula, KDNK menurun 6.1 peratus berbanding 6.8 peratus (2018), Singapura 0.7 peratus berbanding 3.4 peratus (2018) dan Jerman 0.6 peratus berbanding 1.5 peratus (2018).

“Jika dilihat pada 2019, Sabah merupakan negeri keenam menjadi penyumbang terbesar kepada KDNK Malaysia. Bagaimana Musa menyatakan Shafie gagal sedangkan seluruh dunia dan KDNK negeri lain turut menunjukkan penurunan pada 2019,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Christopher berkata, beliau tidak faham bagaimana Musa boleh mengatakan Shafie memusnahkan Sabah.

MUSA AMAN

Tambahnya, beliau percaya, sekiranya Musa menjadi Ketua Menteri pada 2019 sekali pun, KDNK masih akan menurun disebabkan kelembapan ekonomi dunia. Penurunan tetap akan berlaku tidak kira siapa pun mentadbir sama ada Musa mahupun Datuk Seri Mohd Najib Razak.

Beliau juga yakin Shafie boleh menangani masalah pengangguran yang berada pada 5.8 peratus pada 2019 dengan pelaksanaan inisiatif yang dirancang.

Sejak sembilan tahun lalu, kadar pengangguran di Sabah berada pada lima peratus kecuali pada 2014 berada pada 4.9 peratus. Pada 2010, kadar pengangguran direkodkan adalah 5.5 peratus; 5.6 peratus pada 2011-2012; 5.3 peratus (2013), lima peratus (2015); 5.4 peratus (2016); 5.6 peratus (2017) dan 5.8 peratus pada 2018.

“Ini bermakna semasa Musa memerintah selama dua penggal pun kadar pengangguran berada pada lima peratus. Jadi, sangat menghairankan bagaimana dia memberitahu rakyat Sabah bahawa Shafie gagal dalam pemerintahan selama dua tahun ini hingga merekodkan kadar pengangguran tertinggi dalam tempoh 20 tahun,” ujarnya.

Menurutnya, Shafie berada dalam landasan yang tepat untuk mengurangkan kadar pengangguran dengan memberi fokus kepada industrilisasi melalui beberapa inisiatif termasuk Pelan Tindakan Pertanian Sabah 2020-2030 dengan menjadikan Sabah sebagai pengeluar makanan di Asia.

Malah, Pelaburan Langsung Domestik dan Pelaburan Langsung Asing di Sabah juga berkembang dan ini terbukti dengan nilai pelaburan tertinggi diterima di Sabah pada suku pertama 2020 iaitu RM12 bilion.

Christopher berkata, ekonomi Sabah sebenarnya berkembang dengan amat baik pada 2019 jadi, beliau tidak faham mengapa Musa mencipta naratif sendiri.

“Semua data boleh dilihat secara jelas jadi, saya tidak faham mengapa Musa boleh menyatakan sebaliknya. Adakah beliau tidak membaca laporan tersebut?. Musa harus mencari naratif baharu untuk terus berpolitik kerana Shafie terbukti telah melakukan yang terbaik dalam menguruskan Sabah.

“Shafie telah membuktikan beliau pemimpin yang berhemah kerana Sabah dapat diurus dengan baik biarpun semasa berlaku pandemik Covid-19,” ujarnya.