Penstrukturan Semula Kampung Titingan

Oleh ARDYHANSAH AMAT
TAWAU: Calon Parti Warisan Sabah (Warisan) N.68 Apas, Datuk Ir Amrullah Kamal akan merujuk semula penstrukturan semula Kampung Titingan, Blok 10, sekiranya diberikan mandat menjadi wakil rakyat pada Sabtu ini.

Amrullah ketika ditemui berkata, beliau dimaklumkan bawa cadangan penstrukturan semula rumah penduduk di situ, sudah dikemukakan ketua kampung berkenaan kepada Kerajaan Negeri sebelum ini.

“Ini adalah satu keperluan pengundi di sini.

“Sudah tentu, saya akan membuat ‘follow up’ permintaan yang dikemukakan penduduk sebelum ini, untuk tindalan lanjut,” katanya.

Turut hadir Ketua Warisan Bahagian Tawau Abdul Salip Ejal.

Mengulas lanjut mengenai pemilihan parti dari luar Sabah, Amrullah berkata, pihak berkenaan tidak akan tahu keperluan masyarakat di sini, kecuali keinginan mereka terus menguasai sumber bumi negeri.

“Pengalaman menjawat jawatan Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah sebelum ini, membolehkan saya arif dengan konsep ‘mohon restu dari Kuala Lumpur’.

“Bayangkan dalam banyak hasil sumber Sabah diratah mereka, apabila kita hendak membina jalan raya di sini, semuanya perlu pertimbangan dan hanya diberikan sedikit daripada kos diminta,” katanya.

Malah, Amrullah berkata, projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah juga seharusnya dibina lebih awal, bukannya masih dalam proses ketika ini.

“Projek itu pun diumumkan selepas kerajaan lalu mula goyah dan hanya bergantung nasib kepada kerusi parlimen di Sabah dan Sarawak untuk terus memerintah.

“Justeru, saya melihat, parti lawan tidak layak untuk diangkat menjadi pemerintah kerana situasi lama akan berulang kembali memandangkan mereka dikuasai pemerintah luar negeri,” katanya.

Tambah Amrullah, buktinya, seawal penamaan calon lagi, pemimpin Kerajaan Pusat dan dari Semenanjung silih berganti datang menolong calon mereka berkempen di sini.

“Sehinggakan calon mereka tenggelam disebabkan pemimpin berkenaan yang hadir dengan pelbagai tawaran projek kepada rakyat.

“Ia sekali gus membuktikan bahawa calon mereka ‘is nothing’ jika tiada kehadiran pemimpin luar berkenaan,” katanya.