Penstrukturan GLC Diteruskan Untuk Hapus Amalan Rasuah, Ketirisan – KM

1594

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
KOTA KINABALU: Kerajaan negeri akan meneruskan penstrukturan semula beberapa lagi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) untuk menghapuskan amalan rasuah dan ketirisan yang berlaku ketika era pemerintahan Barisan Nasional (BN).

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, langkah itu penting untuk memastikan setiap GLC tersebut kembali kepada objektif asal penubuhannya iaitu membantu pembangun negeri secara menyeluruh.

Beliau berkata, beberapa GLC yang mengalami kerugian selama ini tetapi masih beroperasi kemungkinan ditutup dan kakitangan terlibat akan dipindahkan ke agensi lain yang kekurangan pekerja.

“GLC diamanahkan untuk menjadi landasan kerajaan merealisasikan peluang ekonomi dan pembangunan yang ada tetapi sesetengahnya terbabas seperti yang kita lihat di peringkat nasional contohnya Tabung Haji, Felda dan sebagainya.

“Di Sabah, Yayasan Sabah dilahirkan untuk membangunkan pendidikan dan kesihatan, kita bagi sejumlah besar tanah dan konsesi balak tetapi sudah melencong jadi kita akan kembalikan matlamat asalnya,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Mohd. Shafie berkata, kakitangan yang bekerja dengan agensi yang akan ditutup tidak perlu risau kerana mereka akan ditempatkan di dalam agensi lain.

Jelas beliau, penstrukturan yang dilakukan di Yayasan Sabah contohnya telah menghasilkan kejayaan apabila industri pembalakan haram dan penjualan balak oleh syarikat kini berjaya dihapuskan.

“Kita sudah hentikan penjualan balak untuk mengelakkan rasuah, lebih mudah kita atasinya jika balak-balak ini keluar melalui pelabuhan yang akan direkodkan.

“Kakitangan syarikat-syarikat di bawah Yayasan Sabah yang pelru ditutup juga telah dipindahkan ke agensi lain,” katanya.

Tambahnya, langkah kerajaan mengambil alih pengurusan bekalan air daripada syarikat konsesi juga telah membawa kepada penjimatan duit rakyat yang amat besar.

“Bayangkan berapa jumlah wang yang dijimatkan apabila kita ambil alih daripada konsesi dan 1,300 kakitangan yang terlibat juga telah diserap ke dalam Jabatan Air,” menurut beliau.