Penoreh Getah Disangka Kijang Terkena Tembakan Senapang Bakakuk

563
Omar (dua kiri) menunjukkan sebahagian bakakuk yang dirampas melalui serbuan yang dilakukan di seluruh Sabah sejak awal Januari

KOTA KINABALU: Gara-gara disangka seekor kijang, seorang penoreh getah warga tempatan terkena tembakan senapang bakakuk di bahagian muka di sebuah kebun di Keningau, baru-baru ini.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Omar Mammah berkata, dalam kejadian jam 8 malam pada 22 Januari lalu, seorang penoreh getah warga tempatan yang sedang menoreh getah terdengar bunyi letupan dan tiba-tiba merasa sakit di bahagian muka.

Selepas itu, lelaki berkenaan terjatuh ke tanah sebelum didatangi dua lelaki berusia 20an yang berlari ke arahnya dan salah seorang dari lelaki itu dikenali mangsa.

Katanya, mangsa cuba bangun dan berjalan ke rumahnya sebelum memaklumkan kepada polis mengenai kejadian itu.

Berikutan itu, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Keningau berjaya menangkap empat orang lelaki yang dipercayai terlibat dalam kes tembakan itu.

”Hasil siasatan mendapati seorang daripada suspek itu mengaku melepaskan tembakan kerana ingat mangsa adalah seekor kijang,” katanya dalam Sidang Media, di sini pada Khamis.

Omar berkata, kes itu adalah salah satu daripada sembilan kes rampasan senjata buatan sendiri (bakakuk) yang berjaya dikesan pasukan polis Sabah sejak Januari hingga 6 Februari lalu.

Katanya, menerusi rampasan itu seramai 17 orang berusia antara 20-50an berjaya ditangkap.

Tangkapan itu dilakukan di sekitar Keningau, Kinabatangan, Kota Kinabalu, Labuan, Lahad Datu, Tawau dan Tuaran.

Kesemua yang ditangkap disiasat mengikut Seksyen Akta Senjata Api 1960 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih tujuh tahun atau denda tidak lebih RM10,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Dalam kes berasingan, Omar memaklumkan sebanyak 88 serbuan ke atas kegiatan perjudian tidak berlesen dilakukan sepanjang Januari lalu yang melibatkan rampasan wang berjumlah RM 53,455.

Manakala, 15 serbuan dilakukan menerusi Operasi Ops Limau yang dilancarkan pada 1 Februari lalu. Ia melibatkan rampasan wang tunai berjumlah RM71,000.

Pada tahun lalu, sebanyak 799 serbuan ke atas kegiatan perjudian tidak berlesen dijalankan di Sabah berbanding 604 serbuan pada 2017.

Kesemua kes itu disiasat mengikut Akta Rumah Judi Terbuka 1953.