Penolong Pengarah Antara Empat Ditahan Terlibat Rasuah

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Seorang penolong pengarah di agensi persekutuan antara empat individu yang ditahan kerana disyaki terlibat dengan sindiket pengeluaran sijil-sijil bagi kontraktor bumiputera di Sabah.

Tiga individu lain adalah orang awam termasuk seorang runner yang bertindak sebagai orang tengah.

Dengan tertangkapnya empat individu ini, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah berjaya menumpaskan sindiket pengeluaran sijil-sijil bagi kontraktor bumiputera di negeri ini.

Sijil-sijil yang dikeluarkan termasuk sijil pendaftaran untuk kontraktor kerja, bekalan dan perkhidmatan negeri Sabah (PUKONSA), sijil Pembinaan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) dan sijil taraf bumiputera secara rasuah.

Sindiket tersebut dipercayai telah beroperasi sejak setahun lalu dan cara mereka beroperasi adalah dengan menerima wang rasuah antara RM500 hingga RM1500.

Wang tersebut dipercayai diberikan kepada pegawai kerajaan di agensi berkaitan bagi mempercepatkan pengeluaran sijil-sijil tersebut tanpa perlu melalui pemeriksaan serta proses yang sepatutnya.

Pengarah SPRM Sabah, Karunanithy A/L Subbiah mengesahkan tangkapan telah dibuat dan percaya akan ada lagi beberapa tangkapan susulan.

Beliau juga menasihati pihak berkaitan khususnya kontraktor yang mempunyai maklumat berhubung kes ini untuk tampil membantu siasatan. Bagaimanapun, beliau enggan mengulas lanjut mengenai siasatan kes ini.