Penolong Pegawai Penerangan Didakwa Salah Guna Kedudukan

KOTA KINABALU: Seorang penolong pegawai penerangan didakwa atas 10 pertuduhan menggunakan kedudukan bagi mendapatkan tender menyedia perkhidmatan bekalan makanan kepada syarikat milik abangnya.

Tertuduh, Sharif Ahmad Shah Sh. Mundui, 49, mengaku tidak bersalah atas kesemua pertuduhan itu dihadapan Hakim, Abu Bakar Manat di Mahkamah Khas Rasuah hari ini.

Hakim memerintahkan tertuduh membayar ikat jamin RM20,000 dan deposit RM8,000 dengan seorang penjamin tempatan.

Tertuduh yang sebelum ini bertugas sebagai Pegawai Penerangan Kota Marudu didakwa mengarahkan kerani di Pejabat Penerangan Bahagian Pantai Barat Utara untuk mempelawa syarikat milik abangnya untuk membekalkan perkhidmatan menyedia jamuan makan dan minum bagi beberapa program kerajaan antara April hingga Oktober 2019 dengan nilai keseluruhan tender RM43,200.

Bagi pertuduhan pertama, tertuduh didakwa mengarahkan kerani di Pejabat Penerangan Bahagian Pantai Barat Utara untuk mempelawa syarikat Sutra Gemilang Enterprise milik abangnya, Sharif Idrus Sarif Mundoi @ Habib Ali untuk membekalkan perkhidmatan menyedia jamuan makan dan minum bagi Program Amalan Demokrasi Berparlimen Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kota Marudu pada 2 April 2019 yang berjumlah RM2,000.

Dalam pertuduhan kedua hingga kesepuluh, tertuduh diakwa melakukan kesalahan sama iaitu mengarahkan kerani di Pejabat Penerangan Bahagian Pantai Barat Utara untuk mempelawa syarikat Sutra Gemilang Enterprise milik abangnya, Sharif Idrus Sarif Mundoi @ Habib Ali untuk membekalkan perkhidmatan menyedia jamuan makan dan minum bagi beberapa program kerajaan di lokasi berbeza pada tarikh berlainan antara 12 Jun hingga 30 Oktober 2019.

Atas kesemua kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) Akta yang sama.

Setelah membuat pengakuan tidak bersalah, Hakim turut memerintahkan tertuduh agar melapor diri di Pejabat SPRM yang berhampiran setiap dua bulan sekali dan diarah menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah.

Kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa SPRM, Nurul Izzati Sapifee sementara tertuduh tidak wakili peguam.