Penjelasan Peguam Negeri Tidak Menjawab Kenapa NCA Ditandatangani Secara Senyap

(Komen: Setiausaha Agung Parti Warisan, Datuk Loretto S. Padua)

Merujuk kepada kenyataan media yang dibuat oleh Peguam Negeri Sabah, Datuk Nor Asiah Mohd Yusof bertarikh 9 Februari dimana beliau telah (sebagai maklumbalas kepada artikel yang diterbitkan oleh Sarawak Report) menjelaskan status penguatkuasaan secara undang-undang (legal enforceability) ‘Nature Conservation Agreement’ yang ditandatangani oleh Kerajaan Negeri Sabah dan Hoch Standard

Warisan berterima kasih dengan pencerahan yang diberikan oleh Datuk Nor Asiah dan maklum bahawa NCA yang ditandatangani ini bersifat ‘conditional’ (bersyarat) dimana penguatkuasaannya hanya akan diaktifkan apabila syarat-syarat yang dinyatakan dalam perjanjian tersebut dipatuhi (compliance of conditions).

Kehadiran syarat-syarat dalam apa jenis perjanjian sekalipun yang bertujuan untuk
mengelakkan penipuan dan kerugian terjadi bukanlah sesuatu yang asing untuk kita semua dan contoh yang biasa kita lihat berkaitan dengan pematuhan syarat ini ialah ‘Conditions Precedent to Dibursement’ yang terkandung dalam Letter of Offer yang selalunya diberikan oleh pihak Bank kepada syarikat-syarikat untuk tujuan pinjaman komersial (commercial loan).

Walaupun penjelasan Datuk Nor Asiah tersebut telah menjawab isu yang dibangkitkan oleh Sarawak Report mengenai ‘legal enforceability’ NCA itu sendiri, ianya tidak menjawab perkara khusus yang dibangkitkan oleh Warisan dan rakyat Sabah iaitu ‘mengapa NCA yang melibatkan kawasan hutan berkeluasan hampir 2 juta hektar serta ratusan ribu penduduk Asal Sabah itu telah dibuat dan ditandatangani tanpa pengetahuan kita semua’.

The issue is not on the agreement itself but on the nature as to how the agreement came into about.

Perkara ini amat serius kerana perjanjian ini bukanlah mengenai pinjaman bank kepada syarikat milik Datuk Seri Jeffrey Kitingan tetapi mengenai firma luar (Hoch Trading) yang diragui kredibilitinya serta pengalamannya dalam industri dagangan karbon (carbon trading) diberikan hak eksklusif (exclusive rights) untuk membangunkan industri kredit karbon dikawasan hutan Sabah seluas hampir 2 juta hektar selama 100 tahun.

Ini bermakna bahawa usaha wajar (‘due diligence’) dan perbincangan dengan Penduduk Asal Sabah yang berkepentingan untuk mendapatkan FPIC (Free Prior And Informed Consent) sepatutnya dilaksanakan terlebih dahulu sebelum NCA ini ditandatangani kerana ini melibatkan kawasan hutan yang begitu besar dan bukannya selepas NCA ditandatangani secara senyap.

Sekiranya Kitingan benar-benar mahu memberikan peluang kepada Hoch Standard untuk turut sama membangunkan industri kredit karbon Sabah, bukankah langkah yang lebih berhemah dan bijak ialah dengan memberikan hak kepada firma tersebut untuk membangunkan industri ini bagi kawasan hutan seluas 100,000 hektar sebagai permulaan manakala baki dari 2 juta hektar ini ditawarkan kepada firma-firma lain dari Amerika Syarikat dan Europah yang kita tahu juga mempunyai pengalaman dan kepakaran dalam industri ini?

Mengapakah Kitingan yang merupakan seorang Timbalan Ketua Menteri dilihat beria-ria mempertahankan Hoch Standard yang akan menikmati kuasa eksklusif ini? Pemberian hak eksklusif untuk kawasan yang sebegini besar kepada Hoch Stndard yang merupai monopoli ini tidak ada bezanya dengan pemberian hak mencarigali dan mengeluarkan minyak Sabah kepada Petronas melalui Petroleum Development Act 1974 (PDA 1974).

Perkara mengenai ketelusan NCA dan kredibiliti Hoch Standard yang dibangkitkan dari awal lagi oleh Warisan dan Presiden (Shafie Apdal) juga merupakan perkara yang sama yang diutarakan oleh 11 NGO Sabah (Borneo Futures, Danau Girang Field Centre, Ezplast Solution, Land Empowerment Animals People (LEAP), Sabah Environment Trust, Sabah Human Rights Centre, Sabah Reform Initiative, South East Asia Rainforest Research Partnership (SEARRP), Society for Equality, Respect And Trust For All (SERATA), WWF Malaysia dan Zero Waste Sabah) dalam kenyataan mereka pada hari yang sama 9 Februari.

Kenyataan yang dibuat oleh 11 NGO Sabah semalam menunjukkan bahawa gesaan Warisan kepada Kabinet Negeri Sabah untuk menyediakan Kertas Putih (White Paper) mengenai NCA ini (yang antara lain akan menyatakan bagaimana mereka boleh bersetuju secara prinsipal untuk memberikan hak eksklusif membangunkan industri kredit karbon atas kawasan hutan Sabah seluas 2 juta hektar kepada Hoch Standard yang diragui kredibiliti dan pengalamannya dan mengapa Kerajaan Negeri Sabah tidak mahu melaksanakan due diligence dan mendapatkan FPIC terlebih dahulu sebelum NCA ditandatangani) adalah tepat tetapi gesaan ini tertakluk kepada laporan SPRM yang telah dibuat.