Penjawat Awam Meninggal Dunia Di Pejabat

KOTA KINABALU: Seorang penjawat awam berusia 38 tahun ditemui meninggal dunia dalam bilik sebuah pejabat di Aras 5

Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Sabah, di sini, pagi tadi.

Kejadian kira-kira jam 8 pagi itu disedari kakitangan lain di jabatan berkenaan sebelum menghubungi pihak berkuasa.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas, Agustavia Joe Guasi berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian berkenaan jam 8.42 pagi.

Katanya sepasukan 10 pegawai dan anggota bersama sebuah jentera dan kenderaan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dari BBP Lintas dikejarkan ke lokasi kejadian yang terletak 10 kilometer dari balai.

“Seorang lelaki berusia 38 tahun ditemui tidak sedarkan diri di dalam bilik pejabat.

“Bilik pejabat mangsa kemudiannya dibuka kakitangan jabatan terbabit namun mangsa disahkan sudah meninggal dunia oleh pegawai perubatan dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut dan operasi ditamatkan jam 9.22 pagi.