Penjaja Pasar Labuan Mengeluh Diskaun Sewa Dihapus

1964
Penjaja pasar Labuan di Pusat Transformasi Bandar menganggap pembatalan diskaun sewa sebagai menambahkan lagi masalah yang sedia ada kerana pendapatan perniagaan mereka kini merosot.

LABUAN: Penjaja pasar Labuan di Pusat Transformasi Bandar di sini mengeluh dengan pembatalan diskaun sewa sebanyak 50 peratus oleh Perbadanan Labuan mulai tahun ini.

Mereka menganggap langkah itu sebagai menambahkan lagi masalah yang sedia ada kerana pendapatan perniagaan mereka kini merosot.

Salah seorang penjaja yang telah lama berniaga, Aminah Abas, 50, berkata sewa RM400 sebulan yang dikenakan sangat membebankan penaja terbabit ekoran kelembapan ekonomi di pulau itu sekarang.

“Kami telah berniaga sejak 20 tahun lepas di pasar lama sebelum berpindah ke sini dan sejak itu perniagaan tidak banyak meningkat dan tidak berubah,” katanya kepada Bernama.

Perbadanan Labuan minggu lepas mengumumkan penghapusan diskaun 50 peratus daripada sewaan RM400 yang diberikan sejak tiga tahun lepas atas alasan terpaksa menanggung bebanan kewangan RM300,000 setiap tahun bagi kerja-kerja penyelenggaraan bangunan pasar itu.

Perbadanan Labuan mengumumkan penghapusan diskaun 50 peratus daripada sewaan RM400 yang diberikan atas alasan terpaksa menanggung bebanan kewangan RM300,000 setiap tahun bagi kerja-kerja penyelenggaraan bangunan pasar itu.

Seorang lagi penjaja yang mahu dikenali sebagai Pak Cik Chin,58, meminta Perbadanan Labuan mengkaji semula keputusan itu memandangkan pendapatan mereka kini tidak menentu.

“Ada kalanya kami pulang dengan tangan kosong tanpa sebarang pendapatan,”katanya.

Sementara itu Anggota Dewan Negara, Senator Datuk Bashir Alias berkata pembatalan diskaun itu tidak wajar memandangkan pendapatan penjaja terlibat umpama ‘kais pagi makan pagi, kais petang makan petang’ dan mereka merupakan penduduk tempatan yang memerlukan bantuan.

Pengerusi Persatuan Hal Ehwal Wanita Labuan Fauziah Datuk Mohd Din pula berkata Perbadanan Labuan sepatutnya membantu penjaja, dengan menganjurkan lebih banyak program di sekitar bangunan itu untuk menarik orang ramai ke pasar untuk berbelanja, bukannya memotong diskaun.