Peningkatan Kes Bergejala Dorong Penetapan SOP Baharu Masuk Pasar Raya, Restoran

KOTA KINABALU: Pengesanan 538 kes positif Covid-19 melalui saringan bergejala yang tinggi memberi peringatan kepada semua pihak untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP) semasa berada di tempat tertutup seperti pasar raya dan restoran.

Faktor sebegini mendorong kerajaan negeri memperkenalkan keperluan dua dos lengkap bagi pekerja dan pelanggan yang memasuki pasar raya dan restoran dalam tempoh sebulan daripada sekarang.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, usaha itu akan membantu mengurangkan risiko jangkitan sporadik di tempat-tempat yang menjadi kunjungan orang ramai.

Hari ini sebanyak 1,752 kes positif Covid-19 dilaporkan di Sabah dan saringan kontak rapat masih menjadi penyumbang kes yang tertinggi iaitu 1,063 kes atau 61 peratus.

Beliau berkata, Kota Kinabalu kekal merekodkan kes yang tinggi 436 kes diikuti dengan Tawau 261 kes, Penampang 228 kes dan Sandakan 113 kes.

Daripada 436 kes di Kota Kinabalu, 144 kes atau 33 peratus dikesan melalui saringan bergejala.

Berdasarkan rekod pesakit positif, pesakit dalam kategori dua paling ramai iaitu 972 orang atau 55 peratus. Trend ini sejajar dengan peningkatan kes baharu melalui saringan bergejala manakala, 376 orang adalah pesakit kategori satu, 10 orang dalam kategori tiga selebihnya dalam kategori empat dan lima.

Sehingga semalam 44.6 peratus penduduk dewasa di Sabah telah menerima satu dos vaksin dan 20.8 peratus sudah melengkapkan pengambilan dua dos vaksin.