Peniaga Warga Pakistan Sorok Rokok Seludup Bernilai RM30, 400 Ditahan

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Taktik peniaga warga Pakistan menyorokkan rokok tidak bercukai disebalik susunan barangan runcit di kedai miliknya berjaya dikesan pasukan keselamatan.

Menerusi operasi yang dilakukan Pasukan Polis Marin (PPM) di Pulau Gaya pada 2 petang, semalam, seorang suspek yang dipercayai menyembunyikan rokok seludup yang tidak bercukai berjaya ditahan bersama 8, 840 batang rokok pelbagai jenama yang dianggarkan bernilai RM30,400 selepas taksiran cukai.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Kota Kinabalu, Asisten Superitendan Enturan Anak Lageh berkata, tangkapan itu dibuat menerusi operasi terancang yang memberi tumpuan terhadap penyeludupan dan penjualan rokok tidak bercukai.

“Hasil pemeriksaan dijalankan ke atas sebuah rumah kedai tidak bernombor di Pulau Gaya telah menemui pelbagai jenis rokok yang disembunyikan di sebalik susunan barangan runcit bagi mengaburi pihak berkuasa.

“Namun taktik itu berjaya dikesan setelah pengeledahan secara teliti dijalankan.

“Seorang lelaki warga Pakistan berusia dalam lingkungan 24 tahun yang merupakan penjaga premis telah ditahan bagi membantu siasatan. Malah, semasa diperiksa, warga Pakistan tersebut gagal menunjukkan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Dalam operasi itu, sebanyak 8,480 batang rokok pelbagai jenis jenama dipercayai tidak bercukai telah dirampas ditempat kejadian. Turut dirampas dari suspek adalah satu unit telefon bimbit bagi membantu siasatan. Keseluruhan nilai rampasan rokok selepas taksiran cukai kastam adalah dianggarkan berjumlah RM 30,400.

Tangkapan dan rampasan dibawa ke Markas Operasi PPM Kota Kinabalu untuk tindakan lanjut dan diserah kepada Pegawai Penyiasat Jenayah IPD Kota Kinabalu.

Kes disiasat dibawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 dan jika disabitkan kesalahan boleh  dihukum mengikut Seksyen 135(1)(v)(aa) akta sama.