Peniaga Perlu Turunkan Harga Barang, Tarik Pengguna Tempatan

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Ahli-ahli dewan perniagaan di negeri ini perlu mempelbagaikan inisiatif dalam mempromosi barangan dan perkhidmatan mereka kepada pengguna domestik.

Presiden Dewan Perniagaan & Perindustrian Antarabangsa Malaysia (MICCI) Sabah, Datuk Seri Panglima Wong Khen Thau berkata, penurunan kemasukkan pelancong ke Sabah terutama dari China mengakibatkan komuniti perniaga sedikit terjejas pada masa ini.

Atas sebab itu katanya, komuniti peniaga perlu mengenal pasti alternatif lain bagi menggalakkan penggunaan tempatan serta pelancongan domestik.

“Berdasarkan tinjauan yang kami lakukan, pengunjung dari Semenanjung Malaysia yang pernah datang ke Sabah kurang daripada 20 peratus, selebihnya 80 peratus didapati tidak pernah datang ke Sabah.

“Jadi, dalam keadaan sekarang, orang tidak berani untuk melancong ke tempat yang jauh, maka kita patut menggalakkan pelancongan domestik.

“Kita meminta kerjasama syarikat penerbangan untuk menurunkan harga tiket penerbangan bagi menggalakkan pelancong domestik berkunjung ke Sabah.

“Ketika ini harga ikan dan barangan lain kembali normal dan tidak terlalu mahal, maka kita harus memanfaatkan keadaan ini untuk orang tempatan membeli barangan terutama produk Sabah.

“Itu akan membantu peniaga berdepan kesukaran,” katanya kepada Borneo Today selepas menghadiri mesyuarat bersama dewan perniagaan, penggiat industri simen dan persatuan pengendali kuari, di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS), di sini kemarin.

Wong berkata, pertemuan bersama industri sebegitu merupakan inisiatif baik yang diambil oleh kerajaan negeri.

Katanya, dalam keadaan ekonomi sedikit lembab pada ketika ini, kerajaan negeri mengambil pendekatan untuk bekerjasama dengan penggiat industri termasuk dewan perniagaan.

“Saya setuju dengan kerajaan negeri yang mahu dewan perniagaan bekerjasama dengan kerajaan dalam melaksana lebih banyak aktiviti dan usaha promosi bagi menggalakkan penggunaan tempatan.

“Ini akan membantu ekonomi terus berputar. Putaran ekonomi dalam kalangan pengguna tempatan penting bagi membolehkan kita berdepan kesukaran yang dihadapi sekarang.

”Jadi, komuniti peniaga perlu memainkan peranan mengurangkan harga barangan dan mengadakan promosi jualan murah bagi menggalakkan rakyat tempatan berbelanja,” ujarnya.