Peniaga, Pengunjung Lega Lubuk Rezeki Tamu Donggongon Dibuka Semula

Oleh JENNIFER TUGUNG MICHAEL
PENAMPANG: Pengoperasian semula pasar tamu yang menjadi lubuk rezeki bagi peniaga kecil-kecilan memberi nafas lega kepada peniaga dan pengunjung di Tamu Donggongon.

Peniaga dan pengunjung setia pasar Tamu Donggongon meluahkan perasaan gembira berikutan pembukaan semula pasar mingguan itu hari ini.

Tinjauan Borneo Today ke pasar Tamu itu yang memulakan operasinya tengah hari tadi mendapati, peniaga mengikut langkah ditetapkan dari segi penjarakkan gerai dan orang awam turut mematuhi arahan seperti pengambilan suhu dan pemakaian pelitup muka.

CLARICE MATURUS

Bagi peniaga sayur-sayuran Clarice Maturus, 70, beliau bersyukur kerana dapat berniaga semula selepas Tamu Donggongon tidak dibuka sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan pada 18 Mac lalu.

“Senang hati sebab dapat sudah berniaga semula kerana sebelum ini di rumah sahaja dan bila buka sudah, senang hati sebab dapat pergi ke sini dan berniaga secara kecil-kecilan,” katanya.

Sementara itu, seorang pengunjung setia Winston Sibinil,53, meluahkan perasaan gembira kerana beliau kini dapat menjejaki kaki ke pasar itu setelah sekian lama ditutup.

WINSTON SIBINIL

“Sebagai pengunjung, kita gembira datang ke Tamu ini, persatuan Tamu juga sudah kelihatan bersedia dari segi pembukaan pasar.

“Saya nampak banyak juga orang datang ke Tamu kerana rindu untuk datang ke pasar ini,” katanya.

Seorang lagi pengunjung setia, Annie Lajutan, turut meluahkan perasaan gembira kerana dapat membeli barangan pertanian bersama kakaknya yang baru sahaja balik dari Kuala Lumpur dan ingin melepaskan rindu menjejak kaki ke pasar tersebut.

Selain itu, menurut penyelia Tamu Donggongon, George Limjoon, pembukaan semula pasar itu hanya melibatkan keperluan asas seperti gerai makanan, sayur-sayuran dan buah-buahan.

“Buat masa ini, kawasan kraftangan itu kita sediakan untuk orang-orang kampung untuk menjual hasil pertanian mereka.

“Kita tengok bagaimana keadaan Covid-19, kalau semakin pulih, kita akan buat seperti pada dahulu,” katanya.