Peniaga, Pengunjung Gembira Pasar Malam Api-Api Beroperasi Semula

Oleh JENNIFER TUGUNG MICHAEL
KOTA KINABALU: Pembukaan semula pasar malam di Jalan Gaya, Api-Api merupakan berita baik yang ditunggu-tunggu masyarakat sekitar Kota Kinabalu.

Bagi golongan peniaga, ramai melahirkan perasan gembira kerana dapat menjana semula pendapatan, manakala pengunjung pula berasa seronok kerana dapat meluangkan masa bersama keluarga tersayang.

RAZALI MASHOR

Seorang peniaga nasi lemak, Razali Mashor, 42, berkata, pembukaan semula pasar malam itu merupakan berita baik untuk dirinya kerana dapat menampung semula kehidupan keluarganya yang sebelum ini terjejas dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Semasa PKP itu agak terkesan,tetapi sekarang alhamdulilah kami dapat cari balik sumber pendapatan sebab anak-anak masih bersekolah dan tanggungan pun melibatkan membayar rumah sewa dan sebagainya,”katanya.

Razali yang mempunyai tanggungan tiga anak berkata, beliau amat gembira kerana ramai pengunjung datang memeriahkan suasana, manakala perniagaan pada malam itu juga berjalan dengan baik.

KEVIN VUN

Seorang peniaga durian, Kevin Vun,28, turut melahirkan perasaan gembira dan teruja kerana beliau kini bole menjana pendapatan semula.

Walau bagaimanapun, katanya, meskipun pasar malam dibenarkan untuk dibuka semula, keuntungan jualan tidak seperti dahulu di mana kebanyakan pelancong dari China dan Korea akan datang ke Sabah untuk menikmati buah durian.

Sementara itu, seorang pengunjung Nurul Husnah,33, mendedahkan bahawa beliau dan sekeluarganya sanggup ke Kota Kinabalu dari Beaufort semata-mata untuk menikmati suasana pembukaan semula pasar itu setelah hampir empat bulan ditutup berikutan Covid-19.

NURUL HUSNAH

“Seronok kerana lama sudah kita tidak keluar macam ini, jadi rasa sangat seronok sikit, asal dari Beaufort,datang sini jalan-jalan sebab sepanjang tempoh PKP itu tidak keluar, jadi bawa anak sekali,”katanya.

Sehubungan itu, seorang lagi pengunjung setia dan juga merupakan penyanyi jalanan di pasar malam Api-Api, Diaman Bona,50, berkata, beliau datang ke pasar malam itu untuk melepaskan rindu kerana aktiviti menyanyi di tepi jalanan belum dibenarkan oleh pihak berkuasa.

“Hari ini datang kerana rindu, kita tidak pernah terlepas untuk membuat persembahan setiap Jumaat dan Sabtu di tempat ini, semenjak ditutup tiga bulan lepas, teringat sangat mahu datang, jadi hari ini peluang terbaik untuk kami sekeluarga datang ke sini,”jelasnya.