MEMBAKUT: Pilihan raya dan pemimpin silih berganti namun, peniaga di Tapak Tamu Membakut masih kekal berniaga dalam keadaan serba kekurangan sejak bertahun lamanya.
Walau Barisan Nasional (BN) sudah bertapak di kawasan Parlimen Kimanis itu agak lama namun, keperluan peniaga di Membakut masih gagal dipenuhi.
Ketiadaan tapak perniagaan yang selesa ada kalanya memaksa peniaga untuk melipat payung jualan bagi membolehkan kereta lalu dihadapan gerai mereka.
Itu antara keluhan yang diluahkan peniaga di Tapak Tamu Membakut.

Bagi Rokiah Juni,42, beliau berharap dapat melihat tapak tamu itu ditambahbaik bagi membolehkan peniaga di situ dalam berniaga dalam keadaan yang lebih selesa dan selamat.
“Kalau boleh, tapak tamu ini ditambahbaik sebab kereta pun keluar dan masuk jadi mendatangkan kesukaran kepada mereka.
“Kalau boleh sediakan tempat khas untuk kami berniaga supaya tidak terganggu.
“Disini kereta lalu lalang dan susah lagi kami angkat payung untuk memberikan laluan,” kataya ketika ditemui semasa Tinjauan Mesra calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis bagi Parti Warisan Sabah (Warisan) Datuk Karim Bujang, di sini hari ini.

Peniaga yang berasal dari Kampung Mandangin ini berkata, Membakut juga berdepan masalah banjir yang perlu diambil kira oleh pemimpin baharu yang bakal dipilih oleh rakyat.
Katanya, sistem pengairan dan perparitan di Membakut perlu diperbaiki kerana kawasan ini sering dilanda banjir.
Sekiranya kawasan berhampiran sungai dilanda banjir, ia mendatangkan kesukaran kepada penduduk kampung untuk berpindah.
“Sukar untuk orang kampung berpindah dua tiga kali. Dalam tahun ini sahaja, banjir sampai dua kali dalam sebulan. Ia menyukarkan penduduk terpaksa berpindah-pindah,” kata Rokiah yang berniaga menjual sayur-sayuran kampung dan ikan sungai ini.
Sementara itu, bagi Diana Imbak, 45, banyak yang perlu diperbaiki di tapak tamu itu bagi membolehkan peniaga dapat berniaga dalam suasana yang lebih selesa.
“Tempat kami begini sahaja dari dulu jadi kalau boleh tolong sediakan tapak tamu yang lebih selesa agar tidak perlu untuk kami berhujan dan berpanas di tapak yang tidak berbumbung,” ujarnya.
Selain itu, Diana juga berharap Membakut akan mempunyai Pejabat Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bagi memudahkan penduduk kampung di sekitar berurusan apabila memerlukan pengesahan JPN.
Katanya, buat masa ini mereka terpaksa ke Beaufort untuk berurusan.
“Kami tidak punya kenderaan dan hanya kerja kampung yang tiada gaji bulanan, kalau boleh perkhidmatan sebegitu dapat diwujudkan di sini,” jelasnya.
Diana juga berharap lebih banyak bank akan diwujudkan di Pekan Membakut demi kemudahan penduduk setempat.