Peniaga Luar Bandar Minat Buka Borneo Mart – Jainab

Jainab menerima cenderamata daripada Amisah (dua dari kiri) sambil diperhatikan oleh Aminah.
Jainab menerima cenderamata daripada Amisah (dua dari kiri) sambil diperhatikan oleh Aminah.

KOTA KINABALU – Sebanyak 20 buah kedai Borneo Mart akan dibangunkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan di negeri ini dalam tempoh terdekat bagi mengurangkan kos sara diri masyarakat di kawasan pedalaman.

Menterinya, Datuk Seri Hasan Malek berkata, menerusi program Borneo Mart yang merupakan lanjutan projek bergerak Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M), ia diharap dapat mengatasi masalah harga barangan yang tinggi di kawasan pedalaman.

Katanya, menerusi program itu, kos pengangkutan kedai tersebut telah dibiayai oleh kerajaan menerusi sebuah syarikat pengangkutan yang dilantik.

“Selain dapat memastikan harga barangan tetap murah dapat diberikan kepada masyarakat di kawasan pedalaman, program ini juga dapat menangani masalah ketirisan dan kekurangan barangan keperluan yang diperlukan oleh orang ramai,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan seminar Program Mobile KR1M Borneo Mart di sini Khamis.

Yang turut hadir, Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Datuk Jainab Ahmad dan Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Datuk Siti Sapoo Ahok.

Tiga projek perintis Borneo Mart akan dilaksanakan di Sabah dan Sarawak iaitu masing-masing di Kota Kinabalu, Merapuh dan Bintulu.

Mengulas lanjut Hasan berkata, program Borneo Mart yang hanya akan dilaksanakan di Sabah dan Sarawak itu akan memasarkan barangan keluaran KR1M, Coop1Malaysia dan barangan daripada Agromas.

Selain itu, katanya, ia juga akan membuka peluang kepada masyarakat tempatan untuk memasarkan produk mereka di premis perniagaan tersebut.

Menurutnya, Borneo Mart akan beroperasi di kawasan pinggir bandar atau kawasan pedalaman, manakala KR1M kebanyakannya terletak di kawasan bandar.

Tambahnya, pelaksanaan Borneo Mart tidak akan memberi ancaman kepada kedai runcit kerana ia bertindak sebagai kedai pengedaran kepada peniaga runcit di kawasan sasaran.

Sebaliknya kata beliau, Borneo Mart akan menjadi pelengkap kepada KR1M yang bertindak memberi harga murah kepada orang ramai.