Peniaga Disaran Manfaatkan Digital Untuk Perniagaan

Oleh TERTIA JACOB
SANDAKAN: Golongan peniaga perlu memanfaatkan penggunaan teknologi digital bagi memastikan perniagaan mereka terus berjalan ketika krisis global Covid-19.

Ahli Parlimen Sandakan, Vivian Wong Shir Yee, berkata sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan pada 18 Mac, seluruh masyarakat mengalami perubahan besar dalam kehidupan seharian daripada rutin biasa.

Katanya, beliau percaya perubahan itu kekal meskipun vaksin Covid-19 ditemui dengan komuniti masyarakat harus terus mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) baharu.

“Sebagai contoh, kita makan di pasar atau kedai kopi kini tidak lagi semudah sebelum adanya Covid-19 dengan SOP ketat perlu dipatuhi.

“Ini mungkin menyebabkan pelanggan berfikir dua kali untuk membawa keluarga keluar makan di luar.

“Justeru, premis makanan harus mempertimbang untuk mendaftar dengan aplikasi khidmat penghantaran makanan untuk memastikan pelanggan kekal dan perniagaan mereka tidak terjejas,” katanya di sini, hari ini.

Shir Yee berkata, perniaga termasuk penjaja dan pemilik warung di pasar juga harus mempertimbangkan untuk penggunaan e-dompet dalam transaksi perniagaan kerana sebahagian besar masyarakat lebih gemar menggunakan kemudahan itu untuk mengelak berbaris di bank.

Katanya, pihaknya bersedia membantu golongan ini jika mereka memerlukan platform digital dalam perniagaan.

“Saya juga terkejut kerana baru-baru ini, apabila saya makan di gerai Pasar Umum Sandakan, makanan boleh dibayar menggunakan e-dompet.

“Sebenarnya ramai yang sudah mula beralih kepada teknologi ini dan kita berharap peniaga lain turut serta,” katanya.

Shir Yee berkata, mana-mana penjaja atau peniaga mikro yang memerlukan bantuan dalam platform digital boleh menghubungi pihaknya menerusi talian 089-218713.