Pengusiran PATI Diteruskan Libatkan 130 Warga Indonesia

Oleh JENNIFER TUGUNG MICHAEL
KOTA KINABALU: Komitmen kerajaan untuk mengusir pendatang asing tanpa izin (PATI) dari negeri ini diteruskan bagi menghapuskan kumpulan itu dari negeri ini.

Hari ini, seramai 130 lagi PATI Indonesia diusir menerusi Program Pengusiran Siri Keempat Tahun 2020.

Pengarah Keselamatan Negeri, Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Sabah Sharifah Sitti Saleha Habib Yussof berkata, bilangan itu menjadikan jumlah keseluruhan PATI yang diusir mencegah 591,542  orang sejak tahun 1990.

“Ini adalah program pengusiran keempat pada tahun ini yang melibatkan PATI Filipina dan Indonesia pada 7 hingga 14 Januari.

“Jumlah pengusiran tersebut juga termasuk pengusiran melalui udara yang dilaksanakan oleh Jabatan Imigresen dan melibatkan PATI dari lain-lain negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua agensi yang terbabit dalam membantu menjayakan proses pengusiran PATI.

“Kerjasama semua pihak yang terlibat adalah demi menunaikan amanah dan kepercayaan rakyat yang tidak inginkan kebanjiran PATI di Malaysia  khususnya di negeri Sabah,” katanya.