Pengusaha teksi Labuan mahu stesen tetap di lapangan terbang dan terminal feri

Persatuan Pengusaha Teksi Labuan menggesa kerajaan baharu pimpinan Perikatan Nasional (PN) menimbang nasib pemandu teksi tempatan yang pendapatan harian mereka terjejas teruk sejak empat tahun lalu.

Presidennya, Mohd Ismail Abdul Rahman, merayu kerajaan dan pihak berkuasa tempatan untuk memperuntukkan dua stesen tetap untuk pengendali teksi di Lapangan Terbang Labuan dan Terminal Feri Antarabangsa Labuan.

“Situasi semasa kami sangat genting dan sukar buat kami mencari sesuap nasi…ibarat rezeki dari langit jika kami dapat dua ke tiga penumpang sehari…

“Kami memohon kerajaan agar menimbang rayuan kami kerana kami berdepan kesukaran memenuhi keperluan seharian dengan hampir 80 peratus daripada kami masih membayar ansuran bulanan kereta dan kami juga ada keluarga untuk ditanggung,“ katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ismail berkata, adanya dua lokasi ‘hotspot‘ tetap untuk pemandu teksi tempatan akan sangat membantu dan dapat mengurangkan beban yang ditanggung.

“Dua stesen teksi tetap ini akan membantu pengendali teksi untuk terus bertahan dalam keadaan ekonomi semasa ini,” katanya yang menjelaskan lebih 100 teksi beroperasi di pusat bandar dan lapangan terbang dengan kadar tambang hanyalah antara RM15 dan RM36 setiap perjalanan bergantung kepada tujuh zon diperuntukkan di seluruh Labuan.

Persatuan itu juga berharap Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa dan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong turun ke Labuan untuk melihat sendiri nasib pemandu teksi bergelut setiap hari untuk menampung keperluan keluarga dan membayar ansuran bulanan kereta.