Pengusaha Stesen Minyak Petronas Bantu 40 Pesakit Dialisis Hospital Tawau

Antara barangan keperluan makanan yang disumbangkan Petronas Jalan Utara kepada pesakit dialisis Hospital Tawau.

Oleh ARDYHANSAH AMAT
TAWAU: Pengusaha stesen minyak Petronas Jalan Utara menyampaikan sumbangan barangan keperluan makanan kepada 40 pesakit dialisis di Hospital Tawau, di sini, semalam.

Pengurusnya, Norbaity Jasni berkata, sumbangan itu sebagai tanggungjawab sosial (CSR) pihaknya dalam meringankan mangsa yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

“Saya berharap dengan bantuan ini, ia mampu memberi sedikit kegembiraan dan kebahagiaan kepada pesakit berkaitan.

“Selain pesakit di hospital, sumbangan turut diberikan kepada individu atau masyarakat luar yang dikenal pasti turut terjejas ekoran perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu,” katanya.

Tambah Norbaity, pihaknya mendoakan agar mangsa termasuk mereka yang terjejas sepanjang PKP tidak berputus asa dalam meneruskan kehidupan.

“Kita harus yakin bahawa kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) dan orang perseorangan tidak akan mengabaikan masyarakat yang memerlukan bantuan.

“Justeru, orang ramai harus mematuhi arahan PKP dalam usaha membantu pihak berkuasa memutuskan rantaian penyebaran Covid-19,” katanya.