Pengusaha Resort Pantai Timur Perlu Kerjasama Erat Dengan Pasukan Keselamatan

LAHAD DATU: Pengusaha resort di Pantai Timur Sabah diingatkan agar berganding bahu membentuk kerjasama erat dengan pasukan keselamatan demi melonjakkan kesejahteraan di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone).

Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM), Deputi Komisioner Hamzah Ahmad berkata, langkah itu penting bagi memastikan kawasan resort mereka sentiasa berada dalam keadaan selamat.

Beliau berkata demikian semasa Taklimat Keselamatan ESSCOM kepada pengusaha-pengusaha resort dengan kerjasama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Sabah dan Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman, hari ini.

Seramai 42 pengusaha resort sekitar pantai timur Sabah telah hadir menjayakan program tersebut.

Melalui program itu, pihak pengusaha resort dapat berinteraksi secara langsung dengan pihak berkuasa berhubung cabaran keselamatan dalam industri pelancongan khususnya di ESSZone.

ESSCOM juga berkesempatan memberikan khidmat nasihat kepada pihak pengusaha resort bagi meningkatkan aspek kawalan keselamatan dan perlindungan secara kendiri di premis masing- masing.

Selain itu, program itu juga dapat memupuk hubungan rapat antara ESSCOM dengan pihak pengusaha resort serta mengukuhkan persepsi positif berhubung tahap kawalan keselamatan di ESSZone yang sentiasa diberi perhatian serius oleh kerajaan.

Dalam program sama, ESSCOM juga melancarkan Kajian Kebolehlaksanaan Pelantikan Polis Bantuan di Resort Pantai Timur Sabah dengan kerjasama daripada Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Malaysia Sabah.

Cadangan pelantikan Polis Bantuan di resort pantai timur Sabah ini merupakan tambahan elemen kawalan keselamatan kendiri di premis mengikut peruntukan Bahagian IX, Akta Polis 1967 (Seksyen 47 – Seksyen 50) bagi melengkapi dan mengukuhkan kawalan keselamatan yang sedia wujud di lokasi-lokasi strategik di pantai timur Sabah. Kajian tersebut akan dilaksanakan dalam tempoh tiga bulan dan dijangka selesai pada suku tahun ketiga 2022.