Pengusaha Premis Sandakan Diminta Jalankan Langkah Penjarakkan

Oleh TERTIA JACOB
SANDAKAN: Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) meminta semua pengusaha premis di daerah ini menyediakan garisan untuk menjarakkan pembeli, tempat berbaris di luar premis serta menghadkan bilangan pembeli yang masuk ke dalam kedai.

Presiden Majlis Perbandaran Sandakan, Wong Foo Tin, berkata selepas seminggu Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan, pihaknya mendapati masih ada pengusaha pasar raya, kedai runcit dan farmasi yang tidak mengikuti nasihat dikeluarkan Kementerian Kesihatan Malaysia.

Selain tidak menghadkan bilangan pembeli yang masuk ke dalam kedai, katanya, mereka tidak melaksanakan sepenuhnya penjarakkan diri sekurang-kurangnya satu meter bagi setiap pembeli terutama di kaunter bayaran dan pelanggan yang berbaris di luar premis.

“Pengusaha diminta menghadkan tidak lebih lima pelanggan yang dibenarkan masuk ke dalam premis pada satu masa untuk mengelak kesesakan dan sentuhan antara pembeli.

“MPS memandang serius perkara ini dan meminta semua pengusaha mematuhi peraturan serta langkah keselamatan seperti mana yang ditetapkan sebelum ini,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Foo Tin turut meminta pengusaha mengambil langkah tambahan dengan menyediakan termometer di semua pintu masuk premis bagi memastikan pelanggan berada dalam keadaan sihat, sekali gus mengelak kemungkinan penyebaran penyakit kepada pelanggan lain.

Semua juruwang juga perlu memakai topeng muka dan menggunakan sarung tangan serta membersihkan tangan dengan cecair pembasmi kuman selepas melayan pelanggan atau memegang wang.

“Sebagai langkah pencegahan juga, kita galakkan cecair pembasmi kuman disediakan kepada pelanggan yang masuk,” katanya.

Foo Tin berharap masyarakat di daerah ini memberi kerjasama dalam usaha membanteras penularan wabak Covid-19.