Pengusaha Berlesen Mahu Larangan Penggunaan Jeti Pelancongan Di Semporna Dikuatkuasakan Segera

496
Kerino Jalani

Oleh PEMBERITA BORNEOTODAY
SEMPORNA: Persatuan Pengusaha Syarikat Pelancongan Bumiputra Tempatan (PPSPBT) Semporna mengkritik tindakan Pejabat Daerah Semporna melengahkan-lengahkan tindakan penguatkuasaan ke atas Jeti Pelancongan bagi melarang syarikat pelancongan tidak berlesen beroperasi di situ.

Pada 21 Januari, seramai 160 pengusaha pelancongan berlesen dan tidak berlesen telah menghadiri perjumpaan bersama Kementerian Pelancongan, Seni dan Kebudayaan (Motac) Sabah. Dalam perjumpaan itu, Motac Sabah memutuskan untuk menghalang syarikat pelancongan tidak berlesen menggunakan jeti pelancongan berkenaan.

Pengerusi PPSPBT Semporna Kerino Jalani berkata, persetujuan mengenai larangan itu dibuat setelah mengambil kira pandangan Pejabat Daerah Semporna dan Taman-Taman Sabah.

Bagaimanapun pihak Pejabat Daerah telah memutuskan untuk menangguhkan keputusan tersebut untuk mencari jalan penyelesaian “menang-menang”.

”Kenapa pengusaha tidak berlesen termasuk daripada China harus dimenangkan sementara kami dipihak yang kalah?. Penundaan larangan ini juga jelas bertentangan dengan arahan Kerajaan Negeri semasa Jeti Pelancongan memulakan operasi; iaitu hanya syarikat pelancongan berlesen inbound sahaja diterima.

”Ini merupakan syarat dan terma yang jelas tertulis di dalam SOP dan Fi untuk aktiviti bot di Jeti Pelancongan dan Informasi Semporna.

”Dalam surat itu juga memaklumkan bahawa jeti sepatutnya beroperasi seawal 6 pagi. Namun syarikat yang menguruskan jeti ini gagal untuk berbuat demikian sehingga ramai pelancong merungut kerana kelewatan untuk bertolak ke pulau-pulau peranginan sekitar Semporna,” katanya dalam satu kenyataan, di sini baru-baru ini.

Menurutnya, jeti pelancongan memainkan peranan yang penting kerana jeti ini merupakan hentian setempat bagi semua bot-bot yang ingin berlepas perlu mendapatkan pengesahan daripada jeti tersebut selain Taman-Taman Sabah dan Polis Marin.

Kerino berkata, tindakan untuk tidak membenarkan pengusaha tidak berlesen menggunakan jeti pelancongan ini bukan sahaja dapat membanteras aktiviti pelancongan tidak berlesen secara menyeluruh, malahan menyekat kemasukan warga asing yang giat beroperasi di sini terutamanya daripada China.

“Langkah ini juga dapat membantu pengusaha-pengusaha berlesen untuk meningkatkan hasil pendapatan yang terjejas lebih kurang 50 peratus sedangkan bilangan pelancong sentiasa meningkat,” ujarnya.