Pengurusan UCSF Dirombak, Dilarang Potong Gaji Pekerja

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah akan merombak pengurusan Universiti Kolej Yayasan Sabah (UCSF) bagi memastikan institusi pendidikan itu dapat ditadbir urus dengan baik.

Langkah ini diambil susulan tindakan pengurusan UCSF yang difahamkan akan memotong 50 peratus gaji pekerja berikutan keadaan ekonomi yang mencabar akibat wabak Covid-19.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal berkata, beliau telah meminta permasalahan yang berlaku di UCSF itu diselesaikan secepatnya.

”Saya meminta mereka (UCSF) supaya membayar gaji pekerja, jangan potong gaji dan jangan tamatkan perkhidmatan pekerja.

“Saya juga telah minta UCSF untuk susuli perkara ini dalam mesyuarat yang diadakan baru-baru ini.

”Di samping itu, saya mahu merombak pentadbiran dan pengurusan UCSF supaya ianya diurus tadbir dengan baik,” katanya ketika mengulas mengenai permasalahan yang berlaku di UCSF ketika ini.

Beliau berkata demikian semasa Majlis Penyampaian Bantuan Peralatan Perubatan Covid-19 daripada syarikat-syarikat swasta, di sini hari ini.

Sebelum ini, satu memo tular mengenai pengurusan UCSF yang memaklumkan kakitangannya mengenai pengurangan kos yang berlaku berikutan wabak Covid-19.

Dalam memo tersebut dimaklumkan pekerja perlu bersetuju untuk menerima pengurangan 50 peratus gaji selama tempoh empat bulan.

UCSF adalah institusi pendidikan yang dimiliki oleh Yayasan Sabah, iaitu sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC).