Pengurusan Baitulmal Tidak Harus Ada Penglibatan Politik

(Komen: Ahli Majlis Tertinggi Warisan, Datuk Aidi Moktar)

Penelitian terperinci mendapati institusi baitulmal dari segi konsep dan amalannya di Malaysia telah terpisah dari fungsinya yang sebenar manakala skopnya dalam bidang perlaksanaan undang-undang harta telah terbatas.

Mungkin sudah sampai masanya amalan sedia ada ini dilihat semula dengan matlamat untuk meletakkan kembali institusi baitulmal kepada kedudukan dan peranan sewajarnya seperti yang dikehendaki oleh sistem ekonomi Islam masa kini.

Penubuhan baitulmal di negeri Sabah sejak 2005 adalah menerusi Enakmen Perbadanan Baitulmal Negeri Sabah 1998.

Sebelum baitulmal diwujudkan melalui Enakmen berkenaan, pentadbiran baitulmal adalah di bawah pentadbiran Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS).

Antara objektif penubuhan baitulmal di Sabah adalah untuk membangunkan imej baitulmal sebagai insititusi perbendaharan Islam yang professional, cekap, telus dan disegani.

Berdasarkan kepada objektif yang disebutkan itu maka adalah amat penting ia mempunyai pasukan tadbir urus yang cekap dan berkesanan sesuai dengan tuntutan agama Islam itu sendiri berlandaskan kepada hukum syarak.

Agensi agama seperti baitulmal hendaklah ditadbir secara profesional tanpa penglibatan fahaman dan amalan politik sempit atau sentimen peribadi oleh pihak yang telah diamanahkan untuk memantau urusannya.

Sebagai (mantan) menteri yang bertanggungjawab dengan Hal Ehwal Agama di Negeri Sabah, saya telah menggariskan beberapa langkah yang perlu untuk memastikan fungsi agensi agama khususnya baitumal ditadbir berorentasikan budaya korporat sesuai dengan namanya sebagai sebuah perbadanan yang ditetapkan oleh pemerintah.

Untuk menjadikan baitulmal sebagai badan korporat dengan pengurusan profesional, maka ia perlu diterajui oleh golongan profesional yang berpengalaman dalam pengurusan korporat dan mempunyai rekod cemerlang, berintegriti, telus, amanah dan menjalankan fungsi baitulmal dengan terbaik.

Walaupun saya secara peribadi tidak dapat meneruskan perancangan untuk meoptimumkan fungsi baitulmal disebabkan perkhidmatan saya sebagai menteri yang singkat, namum perancangan dan hasrat yang baik itu sepatutnya diteruskan oleh sesiapa sahaja yang menjadi pengganti tanpa prejudis dimana usaha penambahbaikan sentiasa dialu-alukan untuk memperbaiki lagi prestasi semasa dan di masa hadapan.

Namun perkembangan mutakhir yang profesionalisme namun lebih kepada menjaga hubungan.

Amalan ini sudah menjadi kebiasaan dalam organisasi MUIS/Baitulmal sebelum ini dan telah menghakis keyakinan dan kepercayaan orang ramai terhadap tahap profesionalisme badan dan agensi agama Islam di negeri ini.

Pemilihan peneraju mestilah berdasarkan kepada calon yang mempunyai trek rekod yang baik dalam bidangnya, tahap pendidikan serta profesionalisme kerana aspek ini amatlah penting.

Saya tidak menafikan bahawa faktor mengenali seseorang individu atau kumpulan individu, menjadi satu daripada kriteria pemilihan.

Namun yang paling penting adalah individu atau kumpulan terbabit bukan sahaja cemerlang dalam bidang korporat namun juga harus cemerlang dari segi rekod keperibadian.

Ini kerana pandangan masyarakat perlu turut diambil kira demi menjaga nama baik baitulmal agar peranan badan itu tidak diragui untuk mentadbir dan mengurus harta sedekah serta sumbangan orang awam dan badan korporat di negeri ini.

Melantik seseorang atau kumpulan orang untuk mentadbir agensi agama seperti baitulmal perlu dilaksanakan dengan telus dan mestilah berlandaskan kepada kriteria yang jelas dan bukannya untuk memenuhi selera politik kumpulan tertentu.

Selain kelayakan akademik, aspek pengalaman kerja, integriti, amanah, jujur dan tidak rakus kuasa juga adalah asas yang amat penting untuk diambil kira sebelum seseorang itu boleh dianggap layak untuk menduduki apa juga jawatan dalam institusi agama seperti baitulmal.

Ini kerana kejayaan atau kegagalan sesuatu institusi bergantung sepenuhnya kepada kumpulan yang dimaksudkan.

Adalah penting agar hanya mereka yang benar-benar layak harus diberikan amanah kerana tugas dan peranan itu harus dipikul dengan penuh tanggungjawab.

Ini kerana kuasa dan keputusan pihak yang diamanahkan itu sangat mutlak sesuai dengan tuntutan Rasulullah SAW bahawa jika urusan diserahkan kepada bukan ahli maka tunggulah masa kehancurannya.

Tindakan menamatkan perkhidmatan pengurus besar secara tiba-tiba yang kontraknya masih sah sehingga hujung Jun 2022 dan digantikan oleh individu yang baru berkhidmat kurang setahun, tambahan lagi kontraknya tamat pada Mei 2022 (lebih awal daripada kontrak pengurus besar) adalah satu tindakan yang tidak bijak dan wajar diragui serta dipertikaikan oleh sesiapa sahaja.

Saya tidak mempertikaikan tindakan menamatkan kontrak pengurus besar jika keputusan berkenaan dibuat dengan telus demi kebaikan baitulmal itu sendiri.

Saya juga dimaklumkan bahawa mantan Pengerusi dan Timbalan Pengerusi (individu individu yang mempunyai legasi dan trek rekod yang cemerlang ketika berkhidmat dengan kerajaan terdahulu) juga ditamatkan tempoh perkhidmatan mereka tanpa ada rasa empati dan penghargaan kepada tempoh perkhidmatan mereka dalam organisasi ini.

Hasrat mahukan baitulmal diterajui oleh individu dan kumpulan orang yang lebih baik adalah langkah yang terpuji, namun ianya perlu dilaksanakan secara profesional dengan memberi peluang kepada mereka yang mempunyai kelayakan dan pengalaman yang jauh lebih baik daripada penyandang jawatan sedia ada.

Langkah itu juga perlu dilakukan dengan menunggu sehingga tarikh kontrak mereka tamat seperti yang terkandung dalam kontrak.

Langkah ini perlu untuk meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap fungsi baitulamal untuk menguruskan sedekah orang ramai.

Urus tadbir baitulmal dan MUIS sebagai badan agama yang menjaga maslahat umat Islam di negeri ini mestilah selalu terjaga dan lebih baik berbanding badan lain.

Saya membuat kenyataan ini bukan untuk mempertikaikan keputusan yang telah dibuat kerana ia mungkin memenuhi keperluan undang-undang tubuh baitulmal secara literal, namun ini lebih kepada teguran bagi melaksanakan tanggungjawab fardu kifayah saya sebagai mantan pihak yang bertanggunjawab melantik mereka yang dimaksudkan.

Saya juga berpendirian sebagai orang Islam yang berpegang kepada prinsip dan rasa empati bahawa ketidakadilan perlu di tegur bagi menyantuni konsep Islam yang memberi rahmat seluruh alam (rahmatan lil alamin).

Ini juga selaras dengan hadis Rasulullah SAW bermaksud: “Sesiapa yang melihat kemungkaran (yang boleh dan akan merosakan agama) hendaklah kamu sedaya upaya mengubahnya dengan tangan (kekuasaan). Jika kamu tidak mampu hendaklah kamu ubah (beri teguran) dengan lidah. Jika kedua cara ini tidak mampu dilakukan hendaklah diubah dengan hati (tidak meredhakan kemungkaran/kerusakan itu dilakukan).

Menggunakan cara/kaedah ketiga ini merupakan selemah lemah iman.