Pengurus Ladang Dipenjara Kerana Terima Wang

Oleh TERTIA JACOB
SANDAKAN: Mahkamah Khas Rasuah di sini memerintahkan seorang pengurus ladang menjalani tujuh hari penjara selepas mengaku bersalah atas pertuduhan alternatif menerima wang bernilai RM1,200, pada 2017.

Supardi Latif, 32, iaitu penjawat awam di Ladang FELCRA Berhad kawasan Kinabatangan turut diperintahkan membayar RM3,000 atau tiga bulan penjara jika gagal membayar denda selepas membuat pengakuan itu di hadapan Hakim, Abu Bakar Manat.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh yang bertanggungjawab menghubungi syarikat pembekal alat ganti untuk tujuan pembekalan alat ganti jentera ladang, pembaikan jentera atau servis kenderaan menerima wang terbabit yang dimasukkan dalam akaun tanpa sebarang balasan.

Supardi dituduh melakukan kesalahan itu di Bank Simpanan Nasional cawangan Bandar Indah, di sini, pada 5 Mac 2017.

Tertuduh ditangkap kira-kira jam 10 pagi, Selasa lalu di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) cawangan Sandakan.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM, Mohd Faliq Basiruddin.