Shafie: Pengundi Sandakan Bijak, Tidak Mudah Disogok Pembangkang

Shafie bersama Vivian dan Lim Kit Siang mendapat sambutan hangat ketika berkempen di Pasar Umum Sandakan pada Rabu pagi.

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
SANDAKAN: Usaha pihak pembangkang untuk menyogok pengundi Sandakan bagi meraih undi dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sandakan tidak akan berkesan sama sekali.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal berkata, pengundi di kawasan itu cukup bijak untuk menilai parti mana yang benar-benar mampu membawa perubahan kepada daerah itu dan mengubah nasib mereka.

Ketua Menteri dan Vivian Wong di Pasar Umum Sandakan.- Gambar ihsan Sammy Ariffin

“Saya tahu pengundi Sandakan bukan mudah diperbodohkan dengan duit, disogok dengan apa sahaja termasuk kata-kata kerana mereka pengundi yang bijak.

“Mereka pengundi yang bijaksana, mahu mencipta sejarah selepas banyak PRK orang Sandakan mahu buktikan mereka mampu terjemahkan sejarah,” katanya.

Shafie berkata, beliau akan memberi penjelasan kepada rakyat tentang apa yang telah dilakukan oleh kerajaan sejak mengambil alih pemerintahan agar dapat menyangkal segala propaganda pembangkang.

Kehadiran Ketua Menteri di Pasar Umum Sandakan digunakan sepenuhnya peniaga di situ untuk mengadu masalah yang dihadapi.

Sementara itu katanya, dalam walkabout tersebut para peniaga dan orang ramai mengadu tentang masalah kelengkapan prasarana di situ yang tidak cukup sehingga menyukarkan mereka.

Menurut beliau, kekurangan tersebut adalah akibat kegagalan Barisan Nasional (BN), namun beliau berjanji akan menyelesaikan masalah yang timbul.

“Kita baru memerintah sembilan bulan tetapi masalah itu adalah sisa-sisa kerajaan sebelum ini kita akan tetap selesaikan nanti.

“Dulu Sandakan dikenali sebagai ‘little Hong Kong’ tetapi sekarang banyak kedai tutup itu kesilapan kerajaan dulu terutama BN,” tambah beliau.