Pengundi Muda Tunai Tanggungjawab

Dari kiri, Ag Mohd Sufri, Izlan dan Mariam.

Oleh ARDYHANSAH AMAT
TAWAU: Peningkatan kes Pandemik Covid-19 yang melanda daerah ini, tidak menghalang pengundi muda untuk menunaikan tanggungjawab sebagai warga negara memilih peneraju Kerajaan Negeri, hari ini.

Ag Mohd Sufri Zahari, 26, berkata, dia amat berpuas hati dengan prosedur operasi standart (SOP) yang ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di pusat mengundi.

“Walaupun, ketika ini kita sedang berdepan ancaman Covid-19, namun, saya masih perlu menunaikan tanggungjawab terhadap negeri.

“Petugas SPR sangat membantu saya sepanjang proses membuang undi tadi termasuk penggunaan cecair sanitasi sebanyak tiga kali, pemeriksaan suhu dan memastikan penjarakan fizikal pengundi,” katanya kepada Borneo Today.

Kenyataan itu turut disokong pengusaha bundle, Izlan Dahlan, 31, yang mula turun seawal jam 6 pagi tadi.

“Ini kali kedua saya mengundi selepas Pilihan Raya Umum (PRU), dua tahun lalu.

“Saya hanya menunaikan tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia untuk memilih siapa pemerintah negeri yang layak,” katanya.

Berbeza pula dengan Mariam Kahalluddin, 38, yang pertama kali turun mengundi bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Merotai.

“Sejak pagi tadi lagi saya berdebar-debar untuk keluar mengundi.

“Debaran itu semakin memuncak sehingga menyebabkan tangan menggigil ketika memangkah tadi,” katanya.

Menurut Mariam, bagaimanapun, dia mula berasa lega apabila memasukkan kertas undi ke peti undi sebelum melangkah keluar dari pusat pengundian.

“Bagi saya, PRN bukanlah membuang undi semata-mata, sebaliknya meletakkan saya harapan tinggi terhadap masa depan Sabah,” katanya.