Penguatkuasaan SOP Yang Sedang Dilaksanakan Perlu Dipertingkatkan

Oleh SURAYA SHANAZ
KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah melalui pusat arahan memutuskan agar pihak berwajib hendaklah  meningkatkan penguatkuasaan prosedur standard operasi (SOP) yang sedang berkuatkuasa, pada masa ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berkata ini susulan penularan COVID-19  menunjukkan peningkatan kes bermula 24 Julai lalu di negeri ini.

Khuatir penularan wabak ini akan terus meningkat sekiranya tindakan kawalan tidak diperketatkan, katanya kerajaan negeri  memandang serius kes COVID-19 di negeri ini.

“Selain penguatkuasaan SOP dipertingkatkan, orang ramai juga diwajibkan memakai pelitup muka di tempat awam dan kerap mencuci tangan menggunakan air serta sabun atau pembersih tangan, dan sentiasa mengamalkan penjarakan fizikal.

“Pengusaha premis perniagaan hendaklah mengehadkan bilangan pelanggan dalam premis pada satu-satu masa, dengan bergantung kepada saiz ruang. Laluan masuk dan keluar juga berasingan dengan saringan kesihatan diperketatkan di pintu masuk premis.

“Bilangan kehadiran dalam majlis sosial dan rasmi dihadkan kepada 150 orang bagi tempoh maksima tiga jam saja dan hidangan makanan secara pek atau makanan dihidangkan oleh pramusaji. Pengusaha premis juga dingatkan untuk kerap melaksanakan proses nyahkuman,” katanya menerusi kenyataannya di sini hari ini.

Mohd Shafie berkata, kerajaan negeri turut menggesa pihak berwajib supaya memperluaskan liputan ujian saringan COVID-19 secara rawak kepada semua lapisan masyarakat dan bukan hanya golongan yang dikenalpasti berisiko.

“Sekiranya perlu, ujian saringan COVID-19 di pintu masuk melalui udara, laut dan darat hendaklah dikuatkuasakan semula,” katanya sambil menambah orang ramai agar sentiasa memakai pelitup muka di tempat awam dan jauhi tempat sesak.

Analisa terhadap statistik penularan pandemik COVID-19 di Negeri Sabah menunjukkan peningkatan kes yang mendadak bermula pada 24 Julai lalu.

Laporan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah menunjukkan bilangan kumulatif kes positif COVID-19 pada 25 Julai  adalah 384 kes dan telah meningkat sebanyak 18 kes iaitu kepada 402 pada 4 Ogos.

Bilangan kes positif COVID-19 yang masih dirawat di hospital untuk tempoh ini meningkat empat kali ganda iaitu daripada empat kes kepada 16 kes.