Pengorbanan Moyang Jules Stephens Sentiasa Dalam Ingatan

KOTA KINABALU: Berjuang mempertahankan negara sehingga dibunuh ketika menjadi tawanan perang merupakan pengorbanan yang akan sentiasa diingati oleh cucu-cicit mendiang Sarjan Jules Stephens.

Bekas anggota Kinabalu Volunteer Force itu antara salah seorang anggota yang terlibat dalam revolusi menentang Jepun pada 10 Oktober 1944.

BENEDICT

Cicitnya, Benedict Leo Stephens berkata, mendaing Sarjan Jules adalah sebahagian daripada Pasukan Gerila Kinabalu yang menentang tentera Jepun.

Benedict berkata, moyangnya itu seorang yang tegas dan nekad untuk berjuang demi rakyat tempatan yang berhadapan kesukaran semasa pemerintahan tentera Jepun.

“Beliau dihukum bunuh di sini ketika menjadi tawanan perang antara tahun 1941 hingga 1942.

“Keberanian beliau dalam perjuangan menentang tentera Jepun membawa kesan yang mendalam dalam keluarga kami, tidak ada perjuangan yang lebih berbaloi selain mempertahankan negara daripada penjajah,” katanya semasa upacara memperingati mangsa-Mangsa Perang di Taman Peringatan Petagas kelmarin.

Upacara meletak kalungan bunga didahului oleh Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan yang juga Menteri Pertanian dan Perikanan bagi mewakili Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.

Upacara tersebut diadakan pada 21 Januari setiap tahun bagi mengenang pejuang Pasukan Gerila Kinabalu yang terkorban menentang tentera Jepun semasa Perang Dunia Kedua di Sabah.