Penglibatan Peladang kecil Bantu Bendung Gajah Mati Di Perladangan

104

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Golongan peladang kecil perlu dilibatkan dalam usaha memastikan insiden pembunuhan dan kematian gajah di kawasan perladangan tidak berleluasa hingga boleh menjejaskan industri perladangan di Sabah.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie Apdal berkata, penglibatan peladang kecil penting dalam memastikan kejadian-kejadian kematian gajah di kawasan perladangan tidak berleluasa kerana ia akan memberi implikasi buruk terhadap industri perladangan ini secara keseluruhan.

Beliau berkata, sekiranya kejadian kematian gajah di kawasan perladangan tidak dibendung sejak di peringkat awal, bukan hanya industri perladangan yang terjejas sebaliknya seluruh negara akan terjejas.

“Kesannya bukan hanya ladang yang kena, seluruh negara akan kena dan tempias ini bukan kecil. Kalau kita tidak bendung di peringkat awal, permintaan terhadap bahan komoditi ini akan terjejas kerana beberapa isu akan dilontarkan oleh pihak tertentu,” katanya ketika ditanya mengenai keperluan penstrukturan semula usaha pemuliharaan gajah yang dilakukan Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah.

Beliau berkata, usaha meningkatkan penguatkuasaan juga perlu dilakukan bagi memastikan kejadian kematian gajah dapat dibendung.

Menurutnya, beliau difahamkan kematian gajah terbaharu ini ditemukan berlaku di kawasan sungai.

Ditanya adakah kematian itu berkaitan unsuer jenayah, Mohd Shafie berkata, beliau tidak memperolehi maklumat tepat tentang kes ini.

Katanya, beliau masih menunggu maklumat mengenainya.

“Saya menghargai apa yang telah dikatakan oleh Tan Sri Ketua Polis Negara yang ingin membantu meningkatkan keupayaan dari segi penguatkuasaan yang ada,” jelasnya. 

Pada Ahad, satu lagi bangkai gajah ditemukan di Sungai Kinabatangan, Sandakan.

Penemuan bangkai itu adalah yang ketiga selepas bangkai seekor gajah ditemui di Sungai Udin, Dumpas, Kalabakan Tawau, pada 25 September serta satu lagi di sebuah ladang kelapa sawit di Beluran, Sandakan, pada 19 Oktober.