Penghuni Diarah Pindah, Terdapat Pergerakan Tanah Di Kampung Lebak Moyoh

KOTA BELUD : Penghuni sebuah rumah di Kampung Lebak Moyoh di sini diarahkan untuk berpindah dari kediaman mereka oleh pihak berkuasa susulan kejadian pergerakan tanah di kawasan bukit kampung berkenaan, pagi tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud, Muhammad Syazwan Latun berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu jam 7.34 pagi tadi.

Katanya, sepasukan bomba bersama anggota polis dan kakitangan Jabatan Kerja Raya (JKR), digerakkan ke lokasi kejadian untuk menjalankan pemantauan.

“Pasukan bomba menjalankan pemantauan di lokasi dan menasihatkan penduduk di kawasan sekitar untuk berpindah sekiranya pergerakan tanah terus berlaku.

“Pasukan bomba juga bertindak memasang sawar-sawar di sekitar lokasi kejadian dan terus berada di lokasi untuk sebarang kemungkinan berlaku runtuhan tanah yang lebih besar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Berdasarkan penelitian oleh JKR, penghuni sebuah rumah diarahkan untuk mengosongkan kediaman mereka dan berpindah ke kawasan lebih selamat.

Menurut Muhammad Syazwan, kerja-kerja pemantauan dan pemeriksaan akan dijalankan oleh pihak polis dan pasukan bomba secara berkala.

Operasi ditamatkan jam 12.44 tengahari tadi.