Pengharaman Mesin Slot Masih Berkuatkuasa – Jaujan

73

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Premis Mesin Slot perjudian yang tidak lagi dibenarkan memperbaharui lesen dibawah Kerajaan Sabah baharu diingatkan supaya mematuhi keputusan berkenaan.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Jaujan Sambakong berkata, operasi mesin slot tidak lagi dibenarkan di semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Beliau berkata, perkara itu sudah diputuskan dan surat pekeliling juga telah disampaikan kepada semua PBT yang pernah mengeluarkan lesen perniagaan bagi membenarkan premis mesin slot beroperasi sebelum ini.

Katanya, setakat ini terdapat lebih 70 lesen mesin slot dikeluarkan di seluruh Sabah dan ini antara negeri yang membenarkan aktiviti perjudian dilakukan secara meluas.

Jaujan, yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan ini berkata, keputusan pengharaman in diambil selepas beberapa kajian serta maklum balas awam dilakukan bahawa aktiviti judi mendatangkan kemudaratan kepada masyarakat setempat.

“Kabinet sudah memutuskan perkara ini beberapa bulan lepas, selepas itu kita tidak lagi keluarkan lesen kepada premis untuk mengoperasikan mesin slot.

“Harus difahami, walaupun lesen tu dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan Pusat, tetapi untuk menjalankan perniagaan itu ia terletak dibawah bidang kuasa Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan (KKTP) Sabah,” katanya ketika mengulas mengenai langkah pengharaman operasi premis mesin slot di Sabah.

Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa merasmikan Seminar Strengthening and Restructuring The Critical and Core Institutions of Democracy in Malaysia from The Perspective of Sabah, di sini pada Khamis.

Jaujan berkata, masih terdapat beberapa lesen yang dikeluarkan sebelum ini belum tamat tempoh. Maka, apabila ianya tamat pada hujung tahun ini, tiada lagi pembaharuan lesen akan dibenarkan.

“Perkara ini memudaratkan masyarakat kita, terdapat dalam kalangan masyarakat yang ketagih dengan perjudian ini sehingga menyebabkan penceraian dalam keluarga, harta dilelong dan sebagainya,” katanya.

Oleh itu, setelah mengambil kira keadaan sebegitu, Kerajaan Sabah mengambil keputusan untuk menghentikan aktiviti mesin slot berkenaan.

“Kita perlu mematuhi undang-undang ini yang penting kita bersama-sama menjaga masyarakat kita…jangan ada sampai bergadai harta dan bercerai akibat gelaja negatif itu.

“Ini menjadi agenda kita dalam memastikan rakyat Sabah berada dalam keadaan baik. Perniagaan ini pun tidak menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi.

”Jika dilihat hanya peniaga sahaja mungkin mendapat keuntungan. Keputusan yang diambil ini adalah demi kebaikan semua.

”Peniaga tidak akan rugi kerana banyak lagi peluang perniagaan yang mampu mereka ceburi asalkan tidak memudaratkan masyarakat,” katanya.