Penghantaran Pulang PATI Filipina Lewat Akibat Dokumentasi

PAPAR: Sabah berhadapan masalah mendapatkan dokumen perakuan daripada kerajaan Filipina bagi mempercepatkan proses pengusiran pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Filipina di negeri ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, pada masa ini penghantaran pulang PATI mengalami sedikit kelewatan kerana dokumen perakuan lambat dikeluarkan oleh kerajaan Filipina.

Walau bagaimanapun, perbincangan masih berjalan untuk meminta kerajaan Filipina menerima rakyat mereka yang tidak berdokumen dan ditahan di Sabah.

Pengerusi Majlis Keselamatan Negara (MKN) Sabah ini berkata, selagi tiada dokumen perakuan dikeluarkan oleh kerajaan Filipina kepada tahanan-tahanan ini maka, proses penghantaran pulang akan terjejas.

“Kita kena tunggu sehingga kerajaan Filipina mengeluarkan dokumen bagi memudahkan proses penghantaran pulang rakyat Filipina tidak berdokumen yang ditahan di Sabah.

“Jika proses dokumentasi ini selesai, kita akan segera menghantar rakyat mereka pulang ke negara asal,” katanya dalam sidang media selepas Majlis penyerahan wang ehsan kepada mangsa banjir Mukim Labak, di sini hari ini.

Hajiji berkata, dasar kerajaan negeri cukup jelas bahawa kerajaan akan mengusir PATI yang tidak berdokumen ke negara asal mereka dengan kadar segera.

Untuk itu, beliau berharap kerajaan Filipina dapat memberi kerjasama sepenuhya dalam memudahkan proses penghantaran pulang rakyat mereka yang ditahan di Sabah kerana tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah.

Sejak pandemik Covid-19 melanda, proses penghantaran pulang PATI dari Sabah ke Filipina mengalami sedikit kelewatan hingga menyebabkan berlaku rusuhan kecil di Depoh Tahanan Imigresen (DTI) Kota Kinabalu pada September lalu.

Dalam kejadian pada 10 September lalu, seramai 400 orang tahanan DTI melakukan rusuhan dipercayai akibat tidak berpuas hati dengan penangguhan proses penghantaran pulang ke negara asal mereka.

Dalam majlis itu, Hajiji turut menyampaikan wang ehsan kepada 100 orang penerima yang akan menerima RM1,000. Secara keseluruhan 446 orang akan menerima bantuan berkenaan.

Beliau turut meluluskan peruntukan RM300,000 bagi menaik taraf jalan raya ke kawasan gereja dan Dewan ST Augustine Kinarut.