Penggiat Industri Kewangan Labuan Sumbang Kemudahan Perubatan Bernilai RM352,000

LABUAN: Penggiat industri kewangan Labuan hari ini menyumbangkan kemudahan perubatan bernilai RM352,000 kepada Jabatan Kesihatan Labuan dan Hospital Nukleus Labuan (dahulunya Hospital Labuan).

Sumbangan berkenaan merupakan sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) para penggiat industri kewangan kepada masyarakat Labuan.

Laporan Bernama memetik Ketua Pengarah Lembaga Perkhidmatan Kewangan Labuan (Labuan FSA) Datuk Danial Mah Abdullah sebagai berkata sumbangan itu adalah bagi usaha Jabatan Kesihatan Labuan memerangi pandemik COVID-19.

“Pusat Perniagaan dan Kewangan Antarabangsa Labuan (Labuan IBFC) telah menubuhkan tabung bantuan COVID-19 pada Mac bagi menyumbang kepada langkah-langkah bantuan kepada masyarakat tempatan Labuan.

“Labuan IBFC juga telah bekerjasama rapat dengan Hospital Labuan untuk menaik taraf kemudahan dan peralatan perubatan.

“Penambahbaikan ini akan membolehkan Hospital Labuan memberikan perkhidmatan penjagaan kesihatan yang lebih baik kepada masyarakat tempatan terutama ketika pandemik COVID-19 ini,” katanya ketika menyampaikan kemudahan itu kepada Pengarah Jabatan Kesihatan Labuan, Dr. Ismuni Bohari di sini, hari ini.

Beliau berkata ini juga adalah langkah jangka panjang bagi memastikan Hospital Labuan, yang merupakan institusi perkhidmatan penting di pulau ini, dilengkapi dengan kemudahan terkini untuk memberi perkhidmatan kepada masyarakat, termasuk Labuan IBFC.

“Ini penting memandangkan lebih ramai akan berpusat di Labuan di bawah dasar keperluan (Ekonomi),” kata Mah.

Hari ini, IBFC Labuan menyumbang satu unit Mesin GeneXpert Cepheid, dan sejumlah 600 kit ujian Xpress SARS-CoV-2, untuk kegunaan ujian COVID-19 di Labuan.

Mesin Cepheid GeneExpert juga boleh digunakan untuk ujian virus lain.

Selain itu, Labuan IBFC turut menyumbangkan lima unit topeng separuh muka Sundstrom SR 100 Silicon, 70 unit baharu katil hospital dua fungsi, satu unit katil hospital tiga fungsi dan 69 unit meja katil boleh laras, bagi meningkatkan peralatan di Hospital Labuan demi keselesaan pesakit.

Dalam pada itu, beliau berkata IBFC Labuan akan terus menyumbang kepada usaha bantuan untuk kesejahteraan penduduk di Labuan.

–Ends