PENGENDALI HOTEL DI LABUAN PERLU PATUHI SOP KUARANTIN – MKN

LABUAN: Pengendali hotel di pulau bebas cukai ini perlu membantu pihak berkuasa dalam memastikan tetamu mereka yang dikuarantin, mematuhi sepenuhnya arahan kuarantin COVID-19 dan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Bernama melaporkan, pengarah Keselamatan Negeri, Majlis Keselamatan Negara (MKN) Labuan Nurzalika Kartika Abdullah sebagai berkata kompaun RM1,000 boleh dikenakan terhadap pengendali hotel yang melanggar arahan kuarantin dan SOP seperti membenarkan tetamu yang dikuarantin keluar dari bilik mereka.

“Kami terus melakukan pemeriksaan terhadap tetamu yang dikuarantin di hotel-hotel yang terletak di pusat bandar dan pinggir kota bagi memastikan mereka patuh kepada arahan kuarantin dan SOP.

“Mereka yang memakai gelang tangan juga tidak boleh dilihat berlegar-legar di bandar, pusat beli-belah atau bergaul dengan orang ramai,” katanya kepada Bernama hari ini.

Sekurang-kurangnya 21 hotel terdiri daripada hotel bajet dan lima bintang dibenarkan menerima tetamu (kebanyakannya kru kapal tempatan dan asing, kakitangan perkhidmatan berkaitan minyak dan gas serta staf operasi teknikal) menjalani kuarantin di premis mereka.

Nurzulaika Kartika berkata sebuah hotel di Labuan akan diwartakan tidak lama lagi untuk dijadikan pusat kuarantin bagi rakyat Malaysia yang kembali dari luar negara, sekiranya mendapat persetujuan daripada kerajaan Persekutuan.

Lim Kai Kwan

Persatuan Teo Chew Labuan hari ini mempersoalkan pelancaran promosi makanan oleh hotel-hotel besar di pusat bandar Labuan yang turut menerima tetamu yang dikuarantin berikutan COVID-19.

Pegawai Perhubungan Awamnya Lim Kai Kwan berkata hotel yang dijadikan tempat kuarantin perlu dikategorikan sebagai zon kuning dan orang ramai tidak dibenarkan memasuki premis berkenaan.

“Kami menerima beberapa aduan mengenai iklan dalam akhbar yang mempromosi dan menjemput orang ramai untuk menikmati hidangan di restoran mereka.

“Hotel ini dihuni oleh mereka yang masih menunggu keputusan ujian swab COVID-19 dan golongan ini sudah tentu menimbulkan risiko serius terhadap orang ramai yang berada di dalam premis,” katanya.

— Ends