Pengedar Dadah Yang Juga Calon SPM Dicekup Polis Di Lahad Datu

ACP NASRI MANSOR

LAHAD DATU: Polis menahan seorang remaja lelaki dipercayai pengedar dadah, dalam Ops Tapis di Taman Panji, Jalan Panji, semalam.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, ACP Nasri Mansor, suspek berusia 18 tahun itu ditahan pada 3.30 petang selepas cuba melarikan diri daripada polis yang memperkenalkan diri dan menunjukkan kad kuasa polis.

“Namun suspek berjaya ditangkap dan sewaktu pemeriksaan tubuh badan suspek dijalankan, remaja berkenaan menyerahkan sendiri satu paket plastik berisi ketulan hablur jernih dipercayai dadah jenis Syabu seberat 5.25 gram (RM787), selain sembilan gulung kertas timah,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Nasri berkata, suspek yang masih bersekolah di sebuah sekolah menengah di sini, dan merupakan calon Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) pada tahun ini, dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Lahad Datu bersama barang rampasan untuk siasatan lanjut.

“Hasil siasatan lanjut, mendapati suspek yang juga positif dadah jenis Syabu, mula terlibat dengan pengedaran Syabu sejak awal September ini secara kecil-kecilan di kawasan Kampung Makuao, Lahad Datu selepas terpengaruh dengan rakannya.

“Selain mahu mendapatkan wang mudah bagi meringankan beban kehidupan keluarga,” katanya dan suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

Selain itu, Nasri berkata suspek mendapatkan bekalan dadah itu dari seorang lelaki dikenali sebagai ‘Abang’ di kawasan Kampung Puyut di sini.

Sementara itu, menurut Nasri, polis kini turut giat memburu Abang dan orang ramai yang mempunyai maklumat boleh tampil ke balai polis berdekatan.