Pengedar Dadah Warga Indonesia Ditahan

Oleh ARDYHANSAH AMAT
LAHAD DATU: Seorang lelaki pendatang asing tanpa izin (Pati) warga Indonesia ditahan polis selepas dipercayai mengedar dadah jenis syabu, di Batu 9, Jalan Lahad Datu-Tawau, di sini, petang semalam.

Dalam kejadian jam 5.30 petang itu, polis turut merampas dadah jenis syabu seberat 30.79 gram dan 20 gulung kertas foil dalam simpanan suspek, 37, ketika pemeriksaan dilakukan.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu Asisten Komisioner Nasri Mansor berkata, sebelum kejadian, pihaknya menerima maklumat mengenai aktiviti penjualan dadah di lokasi berkenaan.

“Hasil pemantauan yang dilakukan, polis menemui suspek dalam keadaan mencurigakan di lokasi kejadian.

“Anggota bertugas kemudian menghampiri suspek untuk melakukan pemeriksaan,” katanya menerusi kenyataan media, di sini, hari ini.

Nasri berkata, sebaik menyedari kehadiran polis, suspek cuba melarikan diri dan bertindak agresif menyebabkan pergelutan berlaku dan lelaki itu mengalami cedera ringan.

“Selepas berjaya diberkas, suspek kemudian menyerahkan satu plastik yang mengandungi ketulan hablur jernih dipercayai syabu dan kertas foil dianggarkan bernilai RM4,600.

“Pemeriksaan lanjut mendapati suspek tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri,” katanya.

Dalam masa sama, ujian air kencing suspek positif menunjukkan kandungan dadah jenis yang sama.

Sehubungan itu, polis merampas semua dadah tersebut bagi membantu siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39A (2) Akta Dadah Berbahaya 1952.