Pengebom Dari Kota Marudu Jonius Ondie Dihukum Penjara 25 Tahun

Jonius Ondie @ Jahali, 25, kanan, operator kilang dari Kota Marudu, dan Imam Wahyudin seorang penganggur, dijatuhkan hukuman penjara masing-masing 25 tahun kerana melakukan perbuatan pengganas dengan mengebom sebuah pusat hiburan. 

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini, hari Rabu menjatuhkan hukuman penjara masing-masing 25 tahun terhadap dua lelaki kerana melakukan perbuatan pengganas dengan mengebom sebuah pusat hiburan di Puchong sehingga menyebabkan lapan cedera, Jun tahun lepas.

Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Nordin Hassan menjatuhkan hukuman itu terhadap Imam Wahyudin Karjono, 21, seorang penganggur dan Jonius Ondie @ Jahali, 25, operator kilang selepas mereka menukar pengakuan kepada bersalah.

Nordin berkata mahkamah menyifatkan kes itu adalah kes paling serius melibatkan kumpulan keganasan yang berlaku di negara ini kerana telah menyebabkan kecederaan parah kepada mangsa.

“Matlamat menjatuhkan hukuman bukan untuk kamu berdua sahaja tetapi bagi memberi isyarat kepada mereka di luar sana (orang awam) dan rakan seperjuangan kamu yang nak teruskan matlamat (menyokong keganasan) yang dirasakan betul.

“Perbuatan kamu ini telah menyebabkan keadaan huru-hara di Malaysia yang sebelum ini tak pernah berlaku dan ia perlu dianggap serius oleh semua pihak,” kata Nordin.

Mahkamah turut menjatuhi hukuman penjara 10 tahun setiap seorang terhadap Imam Wahyudin dan Jonius atas pertuduhan menyokong kegiatan pengganas.
Mahkamah memerintahkan Imam Wahyudin dan Jonius menjalani kedua-dua hukuman itu secara serentak bermula dari tarikh mereka ditangkap iaitu Imam Wahyudin pada 29 Jun 2016 dan Jonius pada 1 Julai 2016.

Hari ini ditetapkan untuk perbicaraan hari kedua kes itu dengan lapan saksi pendakwaan telah dipanggil memberi keterangan, tetapi mereka menukar pengakuan kepada bersalah.

Imam Wahyudin yang memakai baju T berwarna putih dan Jonius yang memakai baju-T hitam dan kedua-duanya berkopiah putih kelihatan tenang dan menundukkan kepala semasa mahkamah menjatuhkan hukuman terhadap mereka.

Lapan orang cedera dalam insiden ini di Kuala Lumpur pada tahun 2016.

Terdahulu peguam Wan Azwan Aiman yang mewakili Imam Wahyudin dan P.A Sharon yang mewakili Jonius memohon mahkamah menjatuhkan hukuman ringan dengan alasan kedua-dua tertuduh telah insaf dan menyesal serta berjanji tidak akan mengulangi perbuatan itu.

Timbalan Pendakwa Raya Saiful Edris Zainuddin memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal bagi mencerminkan keseriusan kerajaan menangani isu keganasan yang semakin berleluasa selain tindakan tertuduh jelas berbentuk provokasi yang mencetuskan situasi menggemparkan negara.

Berdasarkan fakta kes, kedua-dua tertuduh telah membuat rancangan untuk mengebom mana-mana kelab malam atau pub bagi menyokong kumpulan pengganas dan mereka telah mendapatkan dua butir bom tangan yang diperoleh di kawasan Rawat dan Rehat Sri Kembangan, Selangor.

Pada malam 27 Jun 2016, tertuduh bersama dua lagi individu telah mengenal pasti sebuah kelab iaitu kelab malam Pitbull di Puchong untuk dibom namun kelab malam itu telah ditutup menyebabkan mereka menukar sasaran kepada kelab malam Movida.

Keesokannya pada 2 pagi, 28 Jun mereka yang menaiki motosikal telah membaling sebutir bom tangan ke arah hadapan kelab itu sebelum melarikan diri dan menyebabkan kecederaan terhadap lapan individu yang berada di premis berkenaan.

Pada 25 Julai 2016, di Mahkamah Petaling Jaya, kedua-dua tertuduh didakwa melakukan perbuatan pengganas dengan cara membaling dan meletupkan bom tangan yang menggunakan fius lever jenis ‘Fuze M213’ sehingga menyebabkan kecederaan terhadap lapan orang.

Perbuatan tersebut didakwa dilakukan mereka dengan niat untuk melanjutkan suatu perjuangan ideologi dan dianggap sebagai diniatkan untuk mengugut orang awam di Malaysia.

Mereka melakukan kesalahan tersebut di pusat hiburan Movida Boulevard Sdn Bhd, Lot G2 & G3, Tingkat Bawah, IOI Boulevard, Jalan Kenari 5, Bandar Puchong Jaya, Puchong, pada 2 pagi, 28 Jun lepas.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 130C (1)(b) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 30 tahun dan boleh dikenakan denda.

Mereka turut didakwa menyokong kumpulan pengganas dengan cara bersumpah setia (berbai’ah) melalui aplikasi Telegram di dalam kumpulan perbualan ‘gagak hitam’ di dalam telefon bimbit pada 30 Mac dan 15 Jun 2016.

Kedua-dua mereka dituduh mengikut Seksyen 130J(1)(a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara seumur hidup atau penjara tidak lebih 30 tahun atau dengan denda dan hendaklah dirampas mana-mana harta yang telah digunakan atau diniat untuk digunakan untuk kesalahan itu.

Media sebelum ini melaporkan berlaku serangan bom tangan dan pihak polis mengesahkan ia didalangi kumpulan militan Daesh.

Lapan orang dilaporkan cedera dalam kejadian awal pagi itu, ketika orang ramai sedang menonton kejohanan bola sepak Euro 2016 dan ia merupakan serangan pertama kumpulan tersebut di Malaysia.