Pengawasan Elektronik Sah di Sisi Undang-Undang

BATU SAPI: Ketika ditanya pada awal hari ini di majlis Sumbangan Tahun Baru Cina 2020 kepada Warga Emas & Sumbangan Kepala Singa kepada Persatuan dan Kelab di Batu Sapi berkenaan sama ada pengawasan elektronik di negara sah di sisi undang-undang, Datuk Liew Vui Keong, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang) telah menjawab:

“Pengawasan elektronik oleh agensi penguatkuasaan undang-undang di Malaysia adalah sah di sisi undang-undang.

Parlimen telah meluluskan beberapa peruntukkan undang-undang bagi membenarkan pengawasan elektronik dengan Seksyen 116C Kanun Tatacara Jenayah sebagai peruntukkan yang am.

Pengawasan elektronik merupakan satu langkah yang dipraktikkan oleh hampir setiap negara bagi memastikan keselamatan rakyat mereka.”

Berkenaan beberapa kebimbangan hak asasi manusia melibatkan hak privasi, beliau menjelaskan: “Ia merupakan satu hak yang penting tanpa keraguan.

Tetapi tiada hak asasi manusia yang mutlak. Sentiasa wujudnya beberapa pengecualian bagi mengimbangkan antara kepentingan individu dan negara yang kadang kala bercanggah.

Salah satu pengecualian dalam kes ini ialah pengawasan elektronik yang diperlukan untuk melindungi keselamatan negara dan memerangi jenayah yang semakin kompleks pada hari ini.”

“Undang-undang Malaysia berhubung pengawasan elektronik adalah selaras dengan piawaian antarabangsa dan agensi penguatkuasaan undang-undang tidak memulakan pengawasan elektronik mengikut kehendak mereka.

Terdapat parameter yang diperuntukkan bagi pengawasan elektronik dalam undang-undang serta perlindungan yang mencukupi untuk mencegah sebarang penyalahgunaan pengawasan ini. Agensi mesti terlebih dahulu membentangkan kes mereka kepada Pendakwa Raya.

Sekiranya Pendakwa Raya yakin bahawa sesuatu pengawasan itu benar-benar diperlukan untuk mendapatkan maklumat berkenaan sesuatu kesalahan jenayah, maka hanya dia boleh menghendakkan pengawasan tersebut dijalankan. Tidak sesiapa yang lain.” ujar beliau.