Penganjuran Sambutan Kaamatan Peringkat Negeri Sabah 2019 Satu Pencapaian Kejayaan

542
Ewon bersama-sama warga Kaung mendendangkan lagu Kaamatan.

KOTA BELUD: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian Datuk Ewon Benedick menyatakan kesediaan Kadamaian menjadi tuan rumah pelancaran Pesta Kaamatan Peringkat Negeri 1 Mei 2020.

Sehubungan itu beliau yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah mempelawa Jawatankuasa Induk untuk menganjurkan pelancaran sambutan Pesta Kaamatan tahun depan di kawasan DUN Kadamaian, Kota Belud.

“Ini sebagai tanda penghargaan kepada kejayaan warga Kadamaian dalam pelbagai pertandingan yang dianjurkan sempena sambutan Kaamatan tahun ini.

“Antara kejayaan Dabra Sia menjuarai Pertandingan Sugandoi, Francisca Nain yang mewakili DUN Karambunai tapi pernah menjadi wakil Kota Belud dan berasal dari Kadamaian memenangi Unduk Ngadau, Ben Simon memenangi anugerah Lagu Popular KDM dan kejayaan dalam Pertandingan Bercerita. Pencapaian ini tidak pernah berlaku selama ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan sambutan Pesta Kaamatan Kampung Kaung Kota Belud, di sini, kelmarin.

Ewon memeriahkan sambutan itu dengan menari bersama kumpulan penari kanak-kanak Kg.Kaung.

Ewon turut memuji usaha pihak penganjur sambutan kaamatan sama ada di peringkat kampung, daerah dan negeri atas kejayaan menganjurkannya dalam suasana yang aman dan harmoni.

“Bagi saya, penganjuran pesta kaamatan pada tahun ini merupakan satu pencapaian dan melakar kejayaan tersendiri kerana Kabinet telah memutuskan sambutan ini diadakan di Hongkod Koisaan sebagai mengekalkan tradisi penganjuran.

Ewon menumbuk padi sebagai simbolik perasmian Pesta Kaamatan Kampung Kaung.

“Selain itu, kehadiran Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie Apdal untuk merasmikan penutupan Pesta Kaamatan ini walaupun sedang menjalankan ibadah puasa di bulan Ramadan menunjukkan komitmen besar beliau terhadap warisan budaya dan tradisi ini.

“Sambutan Pesta Kaamatan ini juga menyatukan masyarakat pelbagai kaum khususnya Kadazandusun Murut tanpa mengira fahaman politik,” katanya.

Ewon berkata, ini dibuktikan dengan kehadiran Huguan Siou, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan selaku Presiden KDCA yang turut sama merayakan sambutan ini bersama pimpinan Kerajaan Sabah dan warga Sabah yang pastinya memberi impak dan makna yang sangat signifikan.

Ewon bersalaman dengan penduduk kampung.

“Saya juga memuji kejayaan pihak penganjur sambutan ini kerana kesemua ucapan pada tahun ini tidak lagi berunsur politik, sebaliknya satu perakuan betapa Kaamatan merupakan satu wadah perpaduan kaum serta perlunya kecintaan kepada warisan budaya, semangat kekitaan, perpaduan dan kerjasama yang menjadi asas kepada usaha-usaha pembangunan dan kemajuan negeri ini.

“Tahniah diucapkan kepada Datuk Peter Anthony, Pengerusi Jawatankuasa Induk Penganjur Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah dan seluruh ahli jawatankuasa atas pencapaian dan kejayaan ini,” katanya.

Ewon menyeru seluruh lapisan masyarakat di negeri ini supaya terus memperkasakan perpaduan, kerjasama dan hubungan kaum yang sentosa seperti sambutan Pesta Kaamatan.

Ewon turut memeriahkan pertandingan “momolopot takano” membungkuas nasi menggunakan daun bersama penduduk kampung.