Pengangur Dipenjara Empat Tahun, Satu Sebatan Kerana Menyamun

Oleh ARDYHANSAH AMAT
TAWAU: Seorang lelaki dipenjara empat tahun dan satu sebatan selepas mengaku bersalah menyamun seorang wanita di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini.

Tertuduh Hamizan Suhaime, 27, yang tidak bekerja itu, didakwa melakukan kesalahan itu di Restoran Union Tea House, Taman Jambu dalam daerah Tawau pada 28 Julai 2020.

Berdasarkan pertuduhan yang dibacakan, dalam kejadian jam 3 petang itu, tertuduh didakwa melarikan sebuah beg galas berjenama Robin May mengandungi satu dompet berjenama Purla yang didalamknya terdapat tiga kad pengenalan, lesen memandu, kad bank dan wang tunai sebanyak RM4,000, milik Wong Ching Yi, 32.

Tertuduh kemudian melarikan diri menuju ke arah Ladang Sungai Imam dengan menaiki sebuah motosikal jenis Yamaha LC.

Bertindak atas maklumat, tertuduh berjaya ditahan polis pada 5 Ogos 2020, jam 10.45 pagi di Ladang Table, Bombalai, Tawau.

Polis turut menemui dompet berjenama Purla mengandungi tiga kad pengenalan dan ATM yang dilaporkan hilang oleh mangsa.

Sehubungan itu, tertuduh melakukan kesalahan di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebat.

Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Tawau Amir Shah Amir Hassan menjatuhkan hukuman empat tahun penjara dari tarikh tangkapan dan satu sebatan.

Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa Asisten Superintenden Dayang Nur Azarinawaty Ag Kachee manakala tertuduh tidak diwakili peguam sepanjang prosiding.