Penganalisis Ekonomi Indonesia Yakin Sabah Jadi Magnet Kepada Kalimantan

122
Dr. Marso menerima cenderahati daripada Dr Sarma Aralas, Pensyarah Kanan Fakulti Perniagaan Ekonomi dan Perakaunan, UMS.

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
KOTA KINABALU: Penganalisis ekonomi Indonesia menganggap Sabah akan menjadi magnet kepada pembangunan pesat wilayah Kalimantan sebaik sahaja ibu negara Indonesia yang dipindahkan ke Kalimantan Timur mula beroperasi pada 2024.

Dr. Marso yang merupakan pemikir dari Sekolah Tinggi Ilmu Ekonomi Bulungan, Tarakan berkata, ini kerana selain Kalimantan Timur, kawasan Kalimantan Utara akan turut menjadi pusat perindustrian baharu dan lokasinya amat strategik untuk Sabah kerana hanya bersebelahan dengan Tawau.

DR MARSO

“Jika nanti benar-benar ibu kota itu sudah pindah, maka secara automatik kita akan menjadi magnet atau besi berani orang baik orang jahat mesti datang, oleh itu kita perlu persiapkan diri sama ada kita menjadi penonton atau pemain itu sahaja, kita teriak-teriak dari luar lapangan atau kita bermain bola sepak di tengah-tengah

“Oleh kerana itu saya cadangkan kolaborasi dari sekarang jangan kata ini Indonesia, ini Malaysia, ini Sarawak atau Sabah kita cakap orang Borneo kerana yang dapat manfaatnya orang Borneo juga,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan kertas kerja bertajuk Ibu Kota Indonesia Pindah Ke Kalimantan: Sebuah Cabaran Kepada Orang Borneo dalam Forum Pembangunan Ekonomi Wilayah Atau Geo-Ekonomi: Persoalan Kepada Orang Borneo di sini hari ini.

Marso berkata, selain perindustrian dua aspek penting yang menguntungkan selepas ini adalah sektor perladangan dan pelancongan yang perlu dimanfaatkan antara Sabah dan Kalimantan.

“Oleh kerana itu transit pelancongan kita boleh sama-sama bekerja kemudian untuk perladangan ini juga boleh menjadi sebagai penghubung, jadi sekarang saya tanya ini adalah cabarannya untuk orang borneo,” katanya.

Dr. Marso (tengah) hadir dalam Forum Pembangunan Ekonomi Wilayah Atau Geo-Ekonomi: Persoalan Kepada Orang Borneo di Kota Kinabalu hari ini.

Beliau berkata, Kalimantan sudah bersedia menerima limpahan ekonomi itu sejak beberapa tahun lalu dengan pembinaan jalan raya trans-Borneo dari Pontianak sampai ke Simanggaris.

Katanya, kini terpulang kepada Sabah untuk menyambung pembinaan jalan raya itu agar nanti ada jalan perhubungan yang mudah bagi kedua-dua wilayah menjalankan perniagaan.

“Indonesia memang sudah serius, ini jalan yang dibina trans-Borneo sudah berdekatan dengan Sabah, maka tinggal Sabah untuk sambungkan,” katanya.