Pengambilalihan PBS Oleh Bomba Bantu Kebajikan Anggota

Misran Bisara

Oleh ARDYHANSAH AMAT
TAWAU: Pengambilalihan pendaftaran dan pengurusan Pasukan Bomba Sukarela (PBS) oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dapat membantu menjaga kebajikan pegawai dan anggotanya dengan lebih efisyen pada masa akan datang.

Penolong Pengarah Operasi JBPM Sabah,

Penguasa Kanan Bomba 1 Misran Bisara, berkata, ketika ini, hanya 20 orang pegawai dan anggota setiap PBS dilindungi insurans berkelompok di bawah pengurusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS).

“Di Sabah sahaja, kita mempunyai 46 PBS dan ada di antaranya dianggotai sehingga 100 pegawai dan anggota.

Misran (kanan) menyampaikan sumbangan PPE kepada wakil PBS di Tawau.

“Namun, hanya 20 daripada setiap PBS dilindungi di bawah insurans berkelompok dan khairat kematian,” katanya kepada media selepas Majlis Penyerahan Cek Insuran dan Peralatan Pakaian Perlindungan Diri (PPE) di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Zon JBPM Tawau Penguasa Kanan Bomba II Sukur Hatta.

Tambah Misran, tugas PBS terutamanya di Sabah amat diperlukan apatah lagi membabitkan kawasan pedalaman dan jauh daripada BBP seperti Pulau Sebatik, Felda Umas dan Balung.

“Malah ada PBS yang mencatatkan bilangan kes lebih tinggi dari BBP memandangkan kedudukannya yang hampir dengan lokasi.

“Umum mengetahui PBS ditubuhkan untuk mempercepatkan masa maklum balas terhadap kes kecemasan seperti kebakaran dan sebagainya,” katanya.

Justeru, PBS juga terdedah dengan risiko seperti kemalangan di tempat kerja dan sebagainya, sekali gus memerlukan perlindungan kebajikan.

Menurut Misran, selain aspek kebajikan, elaun kehadiran juga dapat diselaraskan seperti mana yang dilakukan di peringkat Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan RELA.

Murlianisah Musa

Terdahulu, beliau menyampaikan penyerahan cek perlindungan insuran dan khairat kematian bernilai RM19,000 kepada waris anggota PBS Felda Umas, Musa Manaf, 66, yang meninggal dunia akibat penyakit, tahun lalu.

Sementara itu, waris Allahyarham Musa,

Murlianisah Musa, 36, ketika ditemui terharu dengan keprihatinan JBPM dan ROS terhadap pengorbanan ayahnya.

“Wang yang diterima hari ini akan digunakan sebaiknya termasuk sebagai perbelanjaan menunaikan haji bagi arwah ayah.

“Sekurang-kurangnya, dengan adanya bantuan seperti ini ia dapat membantu waris mangsa untuk menampung kehidupan harian,” katanya.