Pengakap SMK Mutiara Catat Rekod Harungi Ekspedisi Jalan Kaki 42km/24 Jam

70

LABUAN: Seramai tujuh ahli pengakap SMK Mutiara berjaya mencipta rekod Labuan mengharungi ekspedisi sejauh 42 kilometer berjalan kaki mengelilingi Pulau Labuan dalam tempoh 24 jam berakhir jam 7.37 malam semalam (Ahad).

Ketua pengakap sekolah itu Angela Joseph berkata ekspedisi itu yang dimulakan pada jam 7.40 pagi Sabtu merupakan sebahagian ujian lencana tertinggi pengakap remaja bagi kelayakan memperolehi ‘Rambu Kuning’ seterusnya  mendapatkan pengiktirafan sebagai ‘Pengakap Raja’.

Seramai enam murid pengakap laut dan seorang pengakap  telah menyertai ekspedisi kali ini yang melibatkan pelaksanaan beberapa aktiviti sepanjang perjalanan 42 kilometer tersebut.

Antara aktiviti dilaksanakan termasuklah berjalan kaki pada waktu siang dan malam, merekodkan tempat dan bangunan ikon di Labuan, membuat aktiviti orientaring di setiap perhentian, aktiviti khidmat masyarakat dengan mengutip sampah di sekitar kawasan yang dilalui.

“Semasa perhentian rehat di Pantai Damai, semua peserta memasak untuk makan malam secara ‘backwoods living skills’,” katanya.

Ekspedisi itu bermula di selatan Pulau Labuan iaitu tapak sejarah War Memorial sehinggalah ke tapak warisan diiktiraf dunia ‘Chimney’ dan seterusnya melalui beberapa titik periksa (check point) – Kompleks Sukan Laut Antarabangsa, Dataran Labuan, Tugu United Nation Beach, Taman Damai Layang-Layangan, Kem TUDM Ganggarak dan berakhir di Chimney Trail.

“Sebagai langkah keselamatan, peserta ekspedisi diwajibkan melaporkan diri di setiap balai polis yang dilalui,” tambahnya.

Ahli-ahli pengakap itu adalah Darryl Karllen, Megawati Sulaiman, Latipa Basik, Norikmah Karim, Rosanne Hazel Anak Robert, Nurfathirah Suriana dan  Melvin Chew Seng Feng.

Ketua patrol ekspedisi, Darryl ketika ditemui berkata beliau dan rakan-rakan tetap tabah dan bersemangat walaupun cuaca tidak menentu ketika ekspedisi.

“Kami bersyukur kerana pasukannya selamat dan berjaya menamatkan perjalanan tanpa sebarang musibah.

“Kami mengekalkan disiplin, mematuhi peraturan dan semangat sepasukan yang tinggi dan saling menggalakkan sesama ahli pasukan sepanjang ujian ekspedisi ini… kami sentiasa mengekalkan semangat setiakawan, kerjasama dan tolong-menolong di antara satu sama lain,” katanya.

Pengetua SMK Mutiara, Mohd Nizam Yasim selepas meraikan para peserta di titik periksa Kg. Patau-Patau memberitahu Bernama, kejayaan ahli-ahli pengakap sekolahnya itu adalah satu kebanggan SMK Mutiara.

Pasukan ekspedisi ini turut diiringi oleh enam orang guru serta dua sukarelawan dari Pengakap Kelana bagi memastikan peserta ekspedisi selamat sampai ke destinasi akhir.

Kesemua peserta menamatkan ekpedisi di  bahagian utara Pulau Labuan di Chimney.