Penerima Bantuan Tinggal Dipelusuk Kampung & Daerah Terpencil Akan Terus Dijejaki

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Usaha akan terus dipertingkatkan dalam memastikan golongan miskin yang layak menerima bantuan akan dijejaki biarpun mereka berada di pelusuk dan daerah terpecil.

Demikian jaminan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal dalam memastikan semua golongan yang layak menerima bantuan akan dibantu menerusi Pakej Bantuan Covid-19 Sabah.

Beliau berkata, beliau faham masih ada bantuan yang tidak kesampaian.

Atas sebab itu, beliau telah maklumkan setiap pejabat daerah dan Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) yang terdiri daripada hampir 3,000 orang anggota supaya menjejaki golongan yang berada jauh dipelusuk kampung dan daerah terpencil ini.

Katanya, sehingga kini, seramai 358,031 orang rakyat di negeri ini telah menerima bantuan bakul makanan dan bantuan kewangan dengan nilai perbelanjaan keseluruhan berjumlah RM71.42 juta.

Menurutnya, pemberian bantuan itu melibatkan golongan miskin, miskin tegar dan juga B40.

Mohd Shafie berkata, kerajaan Sabah juga sedang berusaha meningkatkan sistem penyampaian bantuan dan tidak hanya bergantung kepada senarai e-Kasih dan senarai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Katanya, pangkalan data dalam e-Kasih dan LHD tidak selari dengan penerima yang layak di negeri ini.

Maka, usaha perlu diambil bagi memastikan golongan yang layak menerima bantuan ini tidak terbiar dalam negara berdepan wabak Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Mereka yang ingin memohon dan menyemak status bantuan Covid-19 Sabah boleh melayari laman sesawang bantuan.covid19.sabah.gov.my.