Penerima Bantuan Hargai Keprihatinan Kerajaan

566
Shafie melawat rumah daif milik Sitti (tengah) yang sedang dibaikpulih dengan bantuan Askar Wataniah

Oleh SURAIDAH ROSLAN
PAPAR: Keprihatinan kerajaan dibawah pimpinan Parti Warisan Sabah (Warisan) dalam mengenalpasti individu yang memerlukan pembaikan rumah cukup dihargai.

Dikala ahli keluarga terpaksa tinggal dalam rumah yang usang dengan atap yang bocor di merata tempat, kehadiran pihak luar membantu menghulurkan bantuan amat dihargai oleh Sitti Hajijah Abdullah,36, dan suaminya Ruddy Darisak,40.

”Saya amat terharu kerana masih ada pihak yang prihatin terhadap nasib kami sekeluarga.

”Kunjungan Ketua Menteri ke sini biarpun sekejap, ia sudah memadai dan memperlihatkan keprihatinan pemimpin itu untuk turun padang melihat kesusahan yang dihadapi rakyat,” katanya ketika ditemui semasa Lawatan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie Apdal ke kediamannya di Kampung Kuala Dalam, di sini pada Jumaat.

Sitti merasa gembira menerima kunjungan Mohd Shafie ke rumahnya yang sedang dibaikpulih

Sitti berkata, rumah yang dihuni sejak 23 tahun itu tidak pernah diperbaiki kerana kekangan kewangan yang dihadapi keluarga.

Katanya, dengan gaji suaminya sebagai pembuat roti canai di restoran, ianya hanya cukup menampung perbelanjaan persekolahan empat anak.

Jika ingin membaikpulih rumah ia memerlukan kos yang tinggi. Maka, mereka terpaksa tinggal dalam rumah yang serba daif itu untuk berlindung dari cuaca panas dan hujan.

Namun, beliau merasa beruntung kerana Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pantai Manis Datuk Aidi Mokhtar mengambil inisiatif mengenalpasti keperluan rakyat yang memerlukan bantuan pembaikan rumah.

Shafie melihat proses membaikpulih rumah milik Sitti (kiri) di Kampung Kuala Dalam, di sini pada Jumaat

Aidi, yang juga Menteri Undang-undang dan Hal Ehwal Anak Negeri itu dalam ucapannya menyatakan program turun padang bagi membantu rakyat itu akan diteruskan dari masa ke semasa.

Menurutnya, beliau akan menjelajah ke semua sembilan Pusat Daerah Mengundi di kawasan DUN Pantai Manis itu untuk membantu rakyat yang memerlukan.

Dalam Majlis Sentuhan Kasih & Kenduri Sekampung yang diadakan di Kampung Kuala itu, pihaknya telah mengenalpasti 20 orang yang layak menerima bantuan asnaf termasuklah warga emas.