Penerima Anugerah Tangan Emas Sedia Wakili Malaysia Di Peringkat Asian, Dunia

269

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Penerima Anugerah Tangan Emas Perdana Menteri 2019 dalam Pertandingan World Skills Malaysia Belia (WSMB), Juvet Sooi dalam persediaan akhir untuk mewakili Malaysia dalam pertandingan di Abu Dhabi dan Shanghai pada 2020 dan 2021.

Anak muda yang berasal dari Nabawan ini berkata, dia akan menjalani latihan di Semenanjung Malaysia sebelum meneruskan perjuangan di Asia Skills Cempetition di Abu Dhabi 2020 dan World Skills Competition di Shanghai 2021 dalam bidang pemasangan komponen kenderaan (carpenter).

Juvet yang merupakan anak ketiga daripada lapan beradik ini akan memperkemaskan kemahirannya dalam memasang komponen badan kereta sebelum mewakili Malaysia ke peringkat seterusnya.

“Biasanya dalam pertandingan sebegini, kami bermula dengan rangka permukaan kereta yang kosong hingga ianya siap dipasang dan seterusnya disembur dengan cat.

“Kami akan diberikan modul dan pemasangan itu perlu dilakukan dalam tempoh masa ditetapkan antara 2 jam hingga 4 jam. Pertandingan ini biasanya mengambil masa selama tiga hari,” katanya ketika ditanya mengenai persediaannya dalam pertandingan peringkat seterusnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Kunjungan Hormat kepada Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie Apdal, di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah, di sini hari ini.

Tambahnya, dia akan berusaha memastikan kejayaan dan kemenangan milik Malaysia di peringkat Asian dan dunia.

Juvet merupakan pelatih Institut Kemahiran MARA Kota Kinabalu.